Hak orang Melayu ke atas tanah sentiasa diiktiraf – Awang Tengah

KUCHING: Hak orang Melayu ke atas tanah mereka akan sentiasa diiktiraf dan dipertahankan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya ia sama seperti mempertahankan hak dan kepentingan kaum-kaum Bumiputera yang lain terhadap hak tanah adat Bumiputera (NCR) mereka.

“Sebagai contoh, kampung-kampung di sepanjang Sungai Sarawak yang dikenali sebagai Kampung Seberang Hilir dahulunya hanyalah kampung tradisional yang telah lama wujud melalui warta rizab komunal sahaja.

“Hasil daripada pengukuran lot-lot kediaman di dalam kampung tradisional berkenaan, pemilikan ke atas tanah di kampung-kampung ini kini terjamin dengan pengeluaran surat hak milik individu di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Selain itu, Awang Tengah berkata pindaan melibatkan Domain Kawasan Peribumi (NTD) untuk dikeluarkan surat hak milik komunal kepada kaum yang berhak turut merangkumi orang Melayu.

Di samping itu, beliau merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) berkata Kerajaan Sarawak juga akan meneruskan program-program pembesaran kampung (SPK) dan penempatan semula (SPS) untuk menyediakan lot-lot kediaman.