Hala tuju ekonomi Sarawak jelas

KUCHING: Sarawak mempunyai hala tuju ekonomi yang jelas untuk jangka pendek dan jangka panjang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan memainkan peranan untuk meneruskan usaha bersama-sama rakan dalam GPS untuk membangunkan Sarawak.

“Kita telah berbincang tentang dasar-dasar ekonomi jangka pendek dan jangka panjang.

“Bagi dasar ekonomi jangka pendek, kita akan teruskan usaha pembangunan projek-projek yang telah kita luluskan termasuk Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Pesisir, Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan pembangunan sekolah daif,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat PBB, semalam.

Tambahnya, sebelum ini Kerajaan Sarawak telah memberikan peruntukan pendahuluan kepada Kerajaan Pusat untuk membangunkan sekolah.

“Jadi projek-projek ini sudah tentu memberikan rangsangan kepada ekonomi kita pada jangka pendek.

“Untuk jangka panjang pula kita telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak yang akan diputuskan dalam satu perbincangan menerusi input daripada pihak kerajaan, swasta, para akademik dan profesional yang akan menganggotai jawatankuasa itu.

“Terdapat sepuluh sektor yang akan dibincang dan ini akan memberi hala tuju baharu atau kelaziman baharu untuk kita membangunkan negeri kerana kini kita dapat lihat bahawa landskap ekonomi akan berubah selepas Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan landskap yang berubah tersebut akan menyebabkan mereka perlu melihat lagi hubungan landskap tersebut dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Tetapi dari sudut latihan dan pendidikan, tetap ada di situ.

“Sarawak bertuah kerana kita telah memperkenalkan teknologi digital tiga tahun terdahulu dan sekarang rakyat dapat menerima teknologi dalam kehidupan mereka termasuk perniagaan.

“Ini memberi kelebihan kepada mereka untuk menghadapi situasi sekarang,” katanya.

Jelas beliau, rakyat juga kini boleh menggunakan teknologi dalam pembelajaran seperti penggunaan ‘zoom’.

“Ini adalah kesan-kesan yang baik apabila kita memperkenalkan teknologi digital tiga tahun yang lalu walaupun ada yang mempertikaikan kesannya kepada ekonomi.

“Tetapi sekarang mereka sedar akan pentingnya teknologi,” jelasnya.