PERNAH dengar Harper’s Bazaar?
Sebuah majalah fesyen wanita yang menyediakan rujukan fesyen dari gaya kasual sehinggalah gaya berkualiti tinggi.
Tapi bagi aku, nama bazar ini lebih sinonim dengan bulan puasa.
Ya, bazar Ramadan, syurga makanan! Sebut sahaja, apa yang tidak dijual di bazar Ramadan?
Semua yang diinginkan, pasti ada.
Seakan-akan seperti melancong ke luar negara.
Ada piza, spageti, khunafa, shawarma, sushi, kimci dan entah apa lagi nama menu.
Nama kuih-muih tempatan juga tidak kurangnya.
Puteri mandi, bunga tanjung, tepung pelita, lompat tikam, kuba guling dan banyak lagi. Setiap kali membayangkan makanan, Jiah senyum sendiri.
Aura bazar makanan Ramadan memang istimewa berbanding hari-hari biasa.
Memandangkan Jiah sibuk bekerja dan idak punya masa untuk memasak, Jiah bercadang mahu membeli makanan di bazar.
Ada banyak bazar dibuka di sekitar perumahan, pilih saja mahu ke bazar yang mana.
Walaupun sebelum ini berlakunya kes karipap terlebih oksigen, roti canai sardin tanpa secebis pun DNA sardin, air minuman sekadar indah warna dari rasanya, Jiah tetap bersangka baik.
Sudah begitu banyak aduan pelanggan sebelum ini, peniaga pasti sudah ambil pengajaran dan perbaiki kekurangan mereka.
“Tapi aku serik, takut aku ditipu lagi,” begitulah luah Mia, kawan sepejabat Jiah berkenaan dengan jualan makanan di bazar Ramadan. Jiah mengerti.
“Ya, aku faham perasaan kau yang lama mengidam nak makan nasi ayam penyet, tapi ayamnya tidak cukup masak, nasinya basi.
Kalau kecewa bab makan, kecewanya memang bukan alang kepalang.
Orang lapar jangan dibuat main,” ujar Jiah, teringat semula tragedi tersebut.
“Tapi itulah, kita ni tak sempat nak masak. Nak tak nak, kena singgah ke bazar juga.”
Jiah dan kawannya diam seketika, berlaku konflik dalaman.
Nak membeli, takut tertipu lagi.
Tapi kalau tak beli, tak ada makanan untuk dimakan semasa berbuka puasa.
Sebenarnya, tak semua makanan yang mereka beli di bazar itu teruk belaka.
Ada juga yang elok, malah ada yang sedap sehingga berkali-kali juga mereka mengunjungi gerai yang sama.
“Tak apalah, bulan puasa ni kita bersangka baik.
Kita cuba nasib pergi ke bazar yang paling dekat dengan pejabat kita.
Cepat kita pergi, cepat juga kita balik rumah,” cadang Jiah.
Kawannya bersetuju.
Ada bazar Ramadan baharu yang dibuka berdekatan pejabat mereka.
Dengar-dengar, ada banyak peniaga ikut serta.
Banyak pilihan makanan.
Boleh tahan hebat juga iklan para peniaga di situ.
Kata iklan, kepelbagaian bazar kami setara Harper’s Bazaar – dari makanan selera tempatan sampalah ke selera luar negara.
Tapi seperti biasalah, Jiah perlu ambil tahu juga perbelanjaan sepanjang Ramadan.
Jiah cukup biasa mendengar pembaziran bulan puasa.
Melihat manusia yang membeli banyak tapi akhirnya dibuang ke tong sampah, syaitan yang dikurung sepanjang bulan puasa pun boleh terbeliak biji mata.
Sepatutnya, bulan puasa tak banyak makan, maka kuranglah belanjanya.
“Perut tak minta banyak pun sebenarnya,” Jiah teringat pesan ibunya.
“Yang minta itu nafsu. Perut pun percayalah dia sangat lapar.”
SELOROH
Jiah juga tak lupa seloroh pengurusnya apabila mereka berbual-bual kisah membeli lauk banyak di bazar.
“Sebenarnya kita tak pernah teringin nak makan banyak.
Perut dan nafsu dah bincang sesama sendiri.
Kita hanya berdiri dan melihat, kemudian terbeli makanan.”
Begitulah, manusia disihir oleh makanan.
Sedar tak sedar, berplastik-plastik makanan dibawa pulang bersama-sama keyakinan makanan ini pasti habis dimakan.
Maka, Jiah nekad mahu membeli makanan secukupnya.
Lebih baik ambil peluang pada bulan puasa untuk jaga pemakanan dan jaga kesihatan.
Aku pun bukannya muda lagi nak makan ikut suka, fikir Jiah.
Sebelum menjelang bulan puasa, Jiah memerhati kawasan bazar dikemas dan para peniaga mula menghias gerai masing-masing dengan kain rentang.
Suasana menyambut kedatangan bulan puasa semakin dirasai.
Selain seronok meraikan bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan puasa juga bulan paling disukai semua peniaga.
Kedai perabot akan keluarkan segala set sofa almari baharu.
Butik pakaian akan keluarkan segala pakaian hari Raya beraneka fesyen dan warna.
Kedai yang lain keluarkan segala jenis perhiasan rumah dan peniaga makanan akan keluarkan segala ilmu memasak yang ada untuk berniaga pelbagai jenis makanan.
Lagu hari Raya jangan lupa dimainkan sepanjang berniaga, untuk menambahkan lagi rasa teruja pelanggan sehingga pelanggan tak dapat berfikir.
“Ingat, kita mesti kekal waras bulan puasa kali ni,” Mia mengingatkan Jiah, takut mereka terpengaruh dengan gaya hidup orang lain.
“Sekarang ekonomi tak menentu jadi kita tak boleh mengharapkan harga makanan macam harga 10 tahun lepas,” ujar Mia lagi sambil memikirkan gaji dan belanja hari Raya.
Panjang keluhan Mia membayangkan juadah yang perlu disediakan pada Raya nanti.
“Kalau kita yang bekerja ni fikir panjang nak uruskan bajet hari Raya, bayangkan para peniaga di bazar.
Mesti mereka pun berharap dapat untung supaya dapat beli persediaan hari Raya,” luah Jiah, tiba-tiba pula dia memikirkan nasib peniaga yang bergantung pada hasil jualan.
“Itulah, aku faham.
Tapi kita ni pun harap makan gaji saja. Kalau gaji tak ada, makan jari jadinya.” Jiah dan Mia saling berpandangan.
Betapa Jiah cuba memahami makna perikemanusiaan, tapi Mia memberikannya realiti untuk difahami. Begitu sulit lupakan kenyataan.
AMAL JARIAH
Tapi Jiah tetap juga mencari cara untuk beramal jariah sepanjang Ramadan.
Biarlah puasanya bukan sekadar menahan lapar dahaga, jaga pemakanan dan jaga kesihatan, tapi dapat juga bersedekah atau menolong orang lain.
Akhirnya, bulan puasa yang dinanti-nanti pun tiba juga.
Berkali-kali Jiah mengingatkan dirinya, kalau masuk ke bazar nanti jangan mudah tergoda dan mengikut hawa nafsu.
Beli makanan yang dimahukan untuk berbuka puasa dan kemudian segera pulang ke rumah.
Sepanjang di tempat kerja, tidak ada topik lain yang dibincangkan di pejabat melainkan makanan apa untuk berbuka puasa.
“Kalau berbuka nanti makan rojak sotong, oh sedapnya!” ujar Wan, sambil mengurut-urut dagu.
Jelas sekali dia sedang membayangkan rojak sotong pada saat itu.
“Ikan bakar cecah air asam pun sedap,” celah Mia, hampir terliur.
“Macam mana ya nak buat kerabu?” celah Shah pula, teringin mahu menyediakan sendiri juadah buka puasa.
“Aku rasa berbuka puasa untuk hari pertama nanti aku nak buat koktel,” sampuk rakan yang lain pula.
Selepas itu beramai-ramai mereka ketawa, seronok rasanya bercakap tentang menu berbuka puasa.
Rasa bersemangat mahu berpuasa kerana apabila berbuka nanti, ada makanan lazat yang menanti di atas meja.
Pada bulan puasa jugalah, air sejuk berais tampak begitu menggoda.
Peluh dingin yang merenik di dinding gelas, ketulan ais separuh timbul separuh tenggelam, kelihatan amat menyegarkan membuat tekak tiba-tiba haus pula.
Gambar seperti itulah yang banyak lalu-lalang di medsos. Sengaja mahu menggugat keimanan dan menambah keinginan untuk beli itu ini di bazar Ramadan.
“Tak sabar nak tengok bazar tak jauh di pejabat kita ni jual apa,” ujar Jiah pada Mia, sambil melihat jam tangan.
Jam menunjukkan hampir 4 petang.
Tak lama lagi, ramailah pelanggan keluar memburu makanan di bazar. Jalan raya sesak, tempat letak kereta pun sesak.
Kepala manusia berjejal-jejal di segenap lorong di bazar.
Boleh jatuh pengsan kalau tak tahan panas. “Aku dah siapkan bajet ke bazar.
Waktu bekerja aku singgah beli makanan di bazar, sehari maksimum RM15.
Hari Sabtu dan Ahad aku masak di rumah.
Kalau aku tak dapat berpuasa, aku tak beli makanan di bazar, aku masak di rumah,” Mia membentangkan bajet bulan puasa di hadapanku.
“Wah, kau memang betulbetul jaga bajet tahun ni!” “Harga barang naik, Jiah.
Kena jaga jangan sampai terbabas. Nanti Raya nak pakai duit. Lepas Raya pun nak pakai duit.” SETUJU “Betul, aku setuju.”
Ketika Jiah dan Mia leka bercerita tentang belanja hari Raya, baju Raya warna apa, kuih apa nak dibeli, langsir nak tukar baharu atau tidak dan banyak lagi perbincangan tentang lauk apa untuk buka puasa dan sahur, rakan sepejabat kelihatan sibuk berkemas lalu memanggil mereka berdua.
“Eh, tak kemas lagi ke?” soal Wan, hairan.
“Kenapa? Ada apa?” soal Jiah, bingung.
Mia terpingapinga. “Dah 4 petang. Masa untuk balik.
Tak nak ke bazar ke?” Wan bertanya lagi. Oh, barulah Jiah dan Mia tersedar!
Mereka leka berbual sehingga terlupa waktu balik.
Tanpa membuang masa, Jiah dan Mia pun berkemaskemas dan bersedia untuk beredar.
Tapi sudah semestinya mereka tak pulang ke rumah, sebaliknya mereka singgah ke bazar Ramadan yang terletak berhampiran pejabat mereka.
Boleh jalan kaki, tak sampai 20 minit untuk ke sana. Maka, rombongan pejabat Jiah pun bergerak ke bazar Ramadan sambil mengepit tas tangan dan dompet masing-masing.
Peniaga yang melihat rombongan dari pejabat pun menyambut kedatangan mereka dengan senyuman lebar dan sapaan mesra. Jiah tidak dapat menidakkan, kuasa makanan memang aneh.
Ada kekuatan tersendiri sehingga dia terpukau. Seakan-akan dia boleh makan semuanya.
Apabila Jiah terpandang balang air berwarna warni, tekaknya terasa haus.
Apabila Jiah membaca nama balang air satu persatu, Jiah tertarik. Pandai sungguh peniaga menarik perhatian pelanggan.
“Mia, kautengoklah gerai air sana.
Tengok nama balang air dia. Unik. Kopilihlah Aku,
Tehtaplah Bersamaku, Justeru Aku Tetap Menunggumu.
Kopi, teh dan jus.” “Ramai juga pelanggannya.
Pandai memikat pelanggan,” komen Mia.
Air balang itu juga tampak menarik dan meyakinkan.
Kaki Mia dan Jiah pun bergerak ke gerai berkenaan lalu terbelilah masing-masing dua cawan air dari siri Kopilihlah Aku dan Tehtaplah Bersamaku.
“Sampai dua jenis air kita beli. Ini baru godaan air, belum yang lain lagi,” bisik Mia lalu ketawa.
Hari pertama sudah termakan pancing peniaga.
Seterusnya, mereka berdua berjalan-jalan sampai ke bahagian gerai menjual kuih muih.
Berbeza dengan jualan kuih zaman dahulu, pelanggan boleh pilih berapa banyak yang dimahukan mereka.
Sekarang semuanya sudah siap dibungkus.
Serba salah juga mahu membeli, padahal cuma teringin makan sedikit saja buat rasa-rasa.
MENGIDAM
“Akak, kuih seri muka satu bekas ni berapa harga?” soal Mia, teringin pula anak tekaknya dengan kuih seri muka.
Begitulah bulan puasa, tiba-tiba ramai pula menjadi ibu mengandung, mengidam itu ini.
“Oh, yang itu satu bekas RM5.”
“Tak boleh beli sikit ke, kak? Saya ni makan sorang je,” ujar Mia lagi, cuba memujuk.
“Tak boleh dik. Akak dah bungkus tu.
Takkan buka bungkus tu untuk adik sorang.
Kalau nak satu seri muka, kena beli keluarga dia sekali.
Tak habis tu simpan dalam peti sejuk buat makan sahur nanti.”
Mia memandang muka aku dan muka peniaga.
Rasa dipaksa pula makan apa untuk sahur.
Tapi Mia sangat teringin makan kuih seri muka.
Mia akhirnya mengalah juga, risau pula dia memikirkan seri muka sepanjang perjalanan pulang ke rumah sampai tak fokus memandu.
Bahaya juga. “Baiklah kak, satu bekas seri muka.”
“Tak nak ambil dua ke? Kuih yang lain pun RM5.
Kalau beli dua bekas akak bagi murah, RM7.”
“Eh, murah tu,” kata pelanggan sebelah kami lalu membeli dua bekas kuih.
Mia tetap dengan pendiriannya, mahu sebekas kuih sahaja.
Memang murah dari segi harga, tapi rasanya tak perlulah kuih sampai dua bekas untuk makan seorang.
Dalam satu bekas pun dah ada enam hiris kuih.
Usai membayar, kami berdua pun bergerak ke gerai lain.
Bau martabak begitu menggoda padahal pada harihari biasa Jiah tak ingin pun nak makan martabak.
Kaki Jiah mengubah haluan ke gerai martabak, lalu memesan martabak daging istimewa.
Terliur pula dia melihat gambar martabak pada kain rentang depan gerai.
Kemudian giliran Mia pula mahu singgah di gerai roti John.
Bau daging ditumis terlalu memikat hati.
Mia membeli satu roti John yang sudah dibungkus siapsiap kerana Mia yakin pada bau tumisan daging roti John yang dihidunya sebentar tadi.
Berulang kali Mia berkata pada Jiah, sedap baunya.
• Dari hlm. 5
Tersenyum mereka berdua apabila melangkah keluar dari bazar bersama plastik makanan di tangan.
Kali ini mereka tak beli karipap, mi goreng dan juga popia.
Tahun lepas mereka kecewa.
Karipap terlebih angin, mi goreng kejung dan popia inti rambut.
Kecewa sungguh sampai trauma.
Seterusnya, Jiah dan Mia pun pulang ke rumah masingmasing.
Makanan yang dibeli disimpan di dalam bekas makanan.
Menunggu waktu berbuka. Jiah tak berani mengintai makanan, takut tercuit dan termakan pula tanpa sedar.
Maka disimpannya elok-elok di bawah tudung saji.
Sementara menunggu waktu berbuka, Jiah menonton televisyen dan melupakan makanan untuk seketika.
Kemudian, azan Maghrib yang ditunggu-tunggu pun berkumandang. Jiah bergegas ke dapur lalu menadah tangan, berdoa dan bersyukur atas rezeki yang diberi oleh Tuhan.
Air yang dibeli pun dicicip, rasa sejuk mengalir laju ke anak tekak.
Masya-Allah sedapnya, desis Jiah.
Tak rugi beli air balang dari gerai tersebut.
Air balangnya memang sedap sangat! Kemudian Jiah beralih kepada martabak daging istimewa.
Kertas pembalut dibuka perlahan.
Mujur, rupa paras martabak tidak mengecewakan.
Jiah potong dan menggigit sedikit.
Elok rasanya.
Apabila makan kali kedua, sedikit pahit.
Apabila Jiah menterbalikkan martabak, rupa-rupanya separuh martabak hangus. Jiah tersenyum pahit, sepahit martabak yang terkulum di mulutnya.
Apa boleh buat, sudah nasib.
Keesokan harinya, Jiah mendengar cerita kawankawan di pejabat. Seperti bermain cabutan bertuah, ada yang beli makanan yang sedap di bazar Ramadan.
Namun, lebih ramai bernasib malang.
Roti John hanya inti mayonis sematamata, kari daging guna daging kisar, dan juga kuih-muih tak cukup gula.
Akhirnya, dakwaan bazar setanding majalah fesyen hanya sekadar propaganda.
“Ini bukan Harper’s Bazaar.
Tapi Hampa Bazar. Hampa betul kita dibuatnya.”