SARIKEI: Bidang pendidikan kekal teras utama perjuangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh dalam usaha meningkatkan taraf sosial dan ekonomi rakyat selain memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Sejajar dengan hasrat murni itu, beliau melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan khususnya kepada golongan muda.
Sehubungan itu, sebanyak RM910,000 diperuntukkan Pusat Khidmat Kuala Rajang untuk membantu golongan muda melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi sejak 2011.
“Malah sejak Januari lalu sebanyak RM59,100 disumbangkan kepada seramai 164 orang pelajar bagi melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam , matrikulasi, diploma dan ijazah.
“Sumbangan ini sebahagian pendekatan untuk meringankan beban keluarga selain melahirkan modal insan berkualiti,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman sosial rasmi miliknya, semalam.
Selain pendidikan, serahan bantuan kepada penduduk di beberapa lokasi bagi kawasan N.41 Kuala Rajang juga disampaikan oleh wakil beliau sejak Januari lalu bagi zon Sarikei.
Ujarnya, antara sumbangan yang dihulurkan berupa bantuan kewangan, kerusi roda dan pelbagai keperluan untuk kesihatan kepada seramai 95 orang sehingga kini.