Hampir sejuta hektar tanah sudah disukat

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) berjaya mengukur 988,284 hektar tanah setakat 15 Mac tahun ini, dengan 772,102 hektar telah diwartakan.

Pengarah Tanah dan Survei Abdullah Julaihi berkata, keluasan ini dapat dibangunkan dengan aktiviti pertanian moden untuk memacu transformasi Sarawak sebagai hab pengeluaran makanan.

“Dengan dana Kerajaan Persekutuan berjumlah RM21.5 juta tahun ini, ditambah dana Kerajaan Sarawak RM40 juta juga secara progresif dari 2019, kerja pengukuran di lapangan dijangka bertambah aktif,” katanya pada Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Bersama Pegawai JTS Sarawak di Menara Pelita, di sini semalam.

Abdullah berkata, sasaran tahun ini adalah penyukatan perimeter kekal seluas 53,000 hektar dan pengukuran individu seluas 24,000 hektar iaitu melebihi sasaran tahun lepas.

Menurutnya, tahun lepas pengukuran tanah NCR inisiatif baharu Seksyen 6 dan Seksyen 18 terjejas sekitar 25 peratus daripada sasaran asal disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Abdullah berkata, pelan pemulihan realistik menyasarkan semula pengukuran kepada 40,000 hektar. Tahun lepas, secara perimeter jabatan itu merekodkan 40,111 hektar (atau sekitar 100,000 ekar) berbanding sasaran asal 53,000 hektar.

“Begitu juga pengukuran lot individu yang merekodkan 12,000 hektar berbanding sasaran asal 15,000 hektar,” katanya.

Suara Sarawak