Hampir semua sekolah di Sibu ditutup akibat jerebu

SIBU: Ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 244 yang dicatatkan oleh bahagian ini setakat jam 11 pagi, hampir kesemua sekolah di sini ditutup.

Menurut sumber dari Pejabat Pendidikan Daerah Sibu (PPD), sejumlah 22 buah sekolah menengah dan 92 sekolah rendah yang melibatkan 47,599 pelajar diarahkan ditutup kerana bacaan IPU melebihi 200.

Kesemua 22 buah sekolah menengah mempunyai 20,627 pelajar manakala 92 buah sekolah rendah mempunyai 26,972 murid.

Selain itu, katanya, sesi persekolahan Kolej Vokasional Sibu berjalan seperti biasa namun tidak mewajibkan pelajar menghadiri sesi pembelajaran yang diadakan di dalam kelas berhawa dingin.

Tambahnya, kesemua 92 sekolah rendah di sini ditutup kecuali SJK Sam Lam.

“PPD Sibu akan memantau keadaan berkenaan dari masa ke semasa,” katanya.

Justeru para ibubapa disarankan supaya mengikuti perkembangan IPU dari masa ke semasa dan sentiasa memantau anak-anak mereka supaya tidak terlibat dalam aktiviti luar rumah pada musim ini.