KOTA SAMARAHAN: Penyandang Dun Muara Tuang Datuk Idris Buang tidak menolak kemungkinan kerusi Dun Stakan akan diambil alih oleh Timbalan Ketua Cawangan Muara Tuang Datuk Hamzah Ibrahim pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.
Menurutnya, Hamzah Ibrahim dijangka bakal menjadi calon untuk Dun Stakan selepas penyandangnya Datuk Seri Ali Mahmud mengumumkan keinginannya untuk bersara dari arena politik.
Beliau mendedahkan perkara itu ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)/Gabungan Parti Sarawak (GPS) Muara Tuang di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menyatakan keputusan itu akan dapat diketahui selepas nama-nama calon diumumkan sendiri oleh Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya, sekiranya benar (Hamzah dicalonkan) beliau berbesar hati memberi kerjasama untuk memastikan kemenangan berpihak pada PBB.
“Saya mendoakan agar beliau (Hamzah) dicalonkan, namun perkara itu belum disahkan lagi. Terdapat ura-ura dari ‘grape vine’ selepas penyandang Dun Stakan mengumumkan untuk bersara dari politik,” katanya.


