Hamzah: Lebih 20,000 PATI dihantar pulang tahun ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20,297 pendatang tanpa izin yang ditahan di depot-depot imigresen di negara ini dihantar pulang ke negara masing-masing sejak awal Januari hingga 24 Julai tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata mereka terdiri daripada 5,613 rakyat Indonesia; Myanmar (3,990); Bangladesh (2,664) dan selebihnya rakyat dari beberapa negara lain.

Jabatan Imigresen telah melaksanakan tindakan pengusiran dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin ke negara asal bagi membendung isu penjumlahan golongan berkenaan di dalam negara, katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam. 

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan juga diambil secara berterusan bagi menyelesaikan isu keberadaan pendatang tanpa izin di negara ini, antaranya memperkukuh kawalan kemasukan rakyat asing melalui beberapa tahap kawalan dan saringan yang ketat. 

“Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen telah melaksanakan 4,400 operasi dan menahan 18,092 pendatang tanpa izin bagi tempoh awal Januari hingga 23 Julai lepas,” katanya.

Hamzah berkata pegawai imigresen juga diberi kuasa di pintu masuk untuk menyemak kesahihan dokumen perjalanan, pas atau permit, tujuan kemasukan dan sejarah kemasukan sebelum menentukan tempoh rakyat asing itu boleh berada di Malaysia.

“Tapisan awal dan saringan keselamatan dibuat ke atas semua warga asing yang memasuki Malaysia menggunakan sistem pangkalan data berintegrasi dengan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Antaranya semakan melalui Senarai Syak Imigresen dan pengambilan data cap jari biometrik dan butiran biodata serta dokumen perjalanan melalui Stolen and Lost Travel Document System (SLTD) oleh Interpol dan pengambilan maklumat biometrik warga asing untuk kemasukan ke dalam negara bagi rekod Jabatan Imigresen,” katanya.– BERNAMA

Suara Sarawak