Hanifah: Pupuk potensi diri

MUKAH: “Karnival seumpama ini merupakan salah satu usaha untuk memupuk potensi diri selaras dengan falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan murid yang seimbang dalam aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek.”

Demikian kata Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib Alsree ketika berucap dalam majlis penutupan Karnival Kebudayaan Cina Peringkat Negeri Sarawak di Kingwood Resort di sini baru-baru ini.

“Rakyat Sarawak merupakan simbol perpaduan unik bukan sahaja di Malaysia, malah di mata dunia.

“Karnival ini dirangka khas untuk murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di seluruh Sarawak yang melibatkan semua kaum,” ujarnya.

“Melalui karnival ini kita mampu mengeratkan lagi ikatan perpaduan serta semangat setia kawan.

“Semangat perpaduan ini seharusnya kita semai dalam diri anak-anak kita bermula dari langkah pertama,” ujar Hanifah.

“Ia adalah satu usaha yang perlu diberi sokongan oleh semua agensi termasuk kepimpinan di peringkat negeri mahupun peringkat persekutuan,” ujarnya.

“Ia adalah salah satu inisiatif untuk memperkenalkan budaya Cina kepada bangsa-bangsa lain.

“Semangat anak-anak kita dalam aktiviti tersebut cukup menggembirakan saya.

“Banyak bakat baharu yang diketengahkan dalam setiap acara yang telah dipertandingkan. Tahniah kepada semua peserta yang bertanding,” kata Hanifah.

“Penganjuran karnival kebudayaan seperti ini harus dicontohi dan diteruskan bagi memartabatkan semua kaum dan bangsa, sekali gus memelihara keunikannya,” ujarnya.

Hadir sama ialah Christopher Spencer Latip, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Mukah, Abang Djohan Abang Isa, Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan St Patrick Mukah, Ho Ing Siong, Pengerusi Kelab Tarian Naga & Singa Bahagian Mukah, Lee Yip Ching, Penasihat Persatuan Bahasa Cina SMK St Patrick Mukah selaku penyelaras Karnival, Royston Valentine, Penasihat Kelab Tarian Naga & Singa Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan barisan Jawatankuasa Penganjur Karnival Kebudayaan Cina Peringkat Negeri Sarawak.