BINTULU: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib hari ini memulakan Jelajah Kesihatan Borneo (JKB) Siri 4 di Bahagian Bintulu dengan mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan (KK) Jepak bagi meninjau secara langsung keadaan fasiliti, operasi dan keperluan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.
Lawatan itu disertai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), dengan tumpuan diberikan kepada penilaian kemudahan sedia ada serta tahap penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Jepak dan kawasan sekitarnya.
Dalam sesi lawatan berkenaan, Hanifah turut meninjau beberapa fasiliti utama di klinik tersebut serta melihat sendiri operasi harian yang dijalankan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
Beliau juga menerima taklimat mengenai operasi KK Jepak selain mendengar secara langsung pandangan, isu dan cabaran yang dihadapi pihak pengurusan serta petugas kesihatan dalam usaha memastikan kelancaran perkhidmatan kepada pesakit.
Menurut Hanifah, setiap isu yang dikenal pasti sepanjang lawatan berkenaan akan diberikan perhatian sewajarnya supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan melalui kerjasama erat antara KKM dan JKNS.
“Setiap cabaran perlu ditangani dengan segera menerusi penyelesaian yang bersesuaian dengan keadaan dan keperluan setempat.
“Ini penting bagi memastikan warga kesihatan dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, sekali gus membolehkan masyarakat terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.


Beliau berkata, pendekatan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi oleh setiap fasiliti kesihatan perlu mengambil kira faktor setempat bagi memastikan langkah yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada warga kesihatan dan komuniti yang menerima perkhidmatan.
Jelajah Kesihatan Borneo merupakan inisiatif turun padang KKM yang memberi peluang kepada kepimpinan kementerian dan pegawai berkaitan untuk memahami keadaan sebenar di lapangan, termasuk keperluan serta cabaran yang dihadapi petugas kesihatan di pelbagai fasiliti.
Melalui pendekatan itu, isu yang dihadapi di peringkat fasiliti dapat dikenal pasti dengan lebih dekat, sekali gus memudahkan perancangan dan pelaksanaan tindakan penambahbaikan secara lebih berkesan.
Lawatan ke KK Jepak menjadi antara pengisian awal JKB Siri 4 di Bahagian Bintulu yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan, selain memastikan kebajikan warga kesihatan serta keperluan fasiliti di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.




