HSL berbuka puasa bersama pengamal media di Sarawak.

Hanya 10 perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP Penuh

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUCHING: 10 perkhidmatan perlu termasuk stesen minyak dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia melibatkan premis pasar raya, pasar raya besar yang terhad kepada sektor makanan dan minuman serta keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri dan kedai serbaneka, kedai mini dan restoran di kompleks membeli belah.

Kata Nanta, kapasiti pekerja adalah 100 peratus dan mewajibkan had jumlah pelanggan dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.

Katanya, restoran turut dibenarkan beroperasi dengan 60 peratus kapasiti pekerja manakala makan di dalam premis tidak dibenarkan.

Beliau menambah, perkhidmatan seperti dobi termasuk dobi layan diri dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja adalah 60 peratus dengan memberi tugasan kepada sekurang-kurangnya seorang pekerja untuk memastikan kawalan keluar masuk pelanggan bagi dobi layan diri.

Bagi stesen minyak, katanya, kapasiti pekerja adalah 60 peratus manakala waktu operasi bagi kedai serbaneka di stesen minyak adalah antara 8 pagi sehingga 8 malam dibenarkan.

Jelas Nanta lagi, kapasiti pekerja kedai penjagaan haiwan dan menjual makanan haiwan adalah 60 peratus dengan aktiviti jual beli produk penjagaan haiwan dan makanan haiwan sahaja dibenarkan.

“Bagi kedai cermin mata dan barang optik, kapasiti pekerja adalah 60 peratus. Hanya aktiviti jual beli
dan pembaikan cermin mata sahaja dibenarkan.

“Manakala kedai perkakas, kapasiti pekerja adalah 60 peratus dengan aktiviti jual beli
produk perkakas sahaja dibenarkan. Pemasangan dan pembaikan di rumah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nanta turut memberitahu, bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti dibenarkan beroperasi dengan 60 peratus kapasiti pekerja manakala perkhidmatan cuci kenderaan tidak dibenarkan.

Katanya lagi, perkhidmatan E-dagang bagi semua kategori produk dibenarkan beroperasi 100 peratus kapasiti pekerja dengan pusat pengedaran tertakluk kepada waktu operasi biasa.

Tambah Nanta, ia juga termasuk perkhidmatan pemborongan dan pengedaran bagi kategori produk perkhidmatan perlu sahaja dengan kapasiti pekerja adalah 100 peratus dengan pusat pengedaran tertakluk kepada waktu operasi biasa.

“Semua aktiviti perkhidmatan perlu sektor perdagangan pengedaran ini dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi ke 8 malam kecuali bagi stesen minyak dari jam 6.00 pagi ke 8.00 malam dan stesen minyak di lebuh raya bertol yang dibenarkan beroperasi 24 jam,” jelasnya.

Nanta memberitahu, sepanjang tempoh perlaksanaan PKP ini, surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini adalah terbatal bermula 1 Jun 2021.

“Semua perkhidmatan perlu di bawah sektor perdagangan pengedaran tersebut perlu mendapatkan surat kebenaran operasi daripada KPDNHEP.

“Permohonan surat kebenaran operasi boleh dibuat melalui laman web https://www.kpdnhep.gov.my bermula pada 31 Mei 2021 (Isnin),” katanya.

Jelas beliau prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor perdagangan pengedaran PKP yang dikemaskini dan Soalan Lazim (FAQ) Sektor Perdagangan Pengedaran juga boleh didapati di laman web https://www.kpdnhep.gov.my.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-88826322/6587 atau melalui emel kepada roa@kpdnhep.gov.my.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

31 Mac 2023

Berita Terbaru