KUCHING: Golongan belia yang menceburi sektor pertanian di Sarawak hanya 12 peratus. Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya akan berusaha mengubah kesedaran belia supaya mempunyai minat membangunkan industri pertanian moden di negeri ini.
“Kita akan berusaha memberi kesedaran kepada mereka berkenaan sektor pertanian yang boleh memberi pendapatan lumayan.
“Pekara yang akan diberi fokus apabila membawa mereka menceburi bidang ini adalah jaminan kualiti produk mesti setaraf dengan Negara Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Revolusi Pertanian Melalui Indusrti 4.0 di Malaysia Productivity Corporation (MPC) di sini, semalam.
Beliau menambah, mereka mempunyai harapan yang tinggi agar ramai belia tidak hanya membiarkan warga emas mempelopori sektor pertanian di Sarawak.
“Pada pembentangan Belanjawan Sarawak 2020, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperuntukkan dana yang banyak kepada sektor pertanian termasuk bantuan geran pertanian yang bergantung kepada kapasiti dari RM10,000 sehingga RM100,000 untuk membantu belia.
“Selain itu, kita juga membantu melalui modal teroka atau pinjaman mudah berjumlah RM200 juta untuk membantu mereka yang sudah berjaya tetapi ingin mengembangkan perniagaan.
“Seterusnya, kita juga membantu mereka melalui hubungan kerjasama bersama sektor swasta untuk membantu mengeksport produk ke luar negara,” jelasnya.
Sementara itu katanya, bagi menanam minat kanak-kanak terhadap sektor pertanian sebuah pusat pertanian moden contoh akan dibina di sekolah seperti sistem fertigasi.
“Ini merupakan usaha kita untuk menyemai minat kanak-kanak ke arah pertanian moden.
“Usaha ini juga sebagai pendedahan awal kepada mereka menggunakan prasarana supaya mampu mengadaptasi teknologi dalam sektor pertanian,” katanya.