Hanya 21 peratus daftar untuk vaksinasi

KUCHING: Kadar sambutan rakyat Malaysia terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan masih kurang memuaskan dengan hanya 5.17 juta atau 21 peratus sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, setakat 10 Mac lalu hanya 345,646 individu sudah mendapatkan janji temu, manakala 223,923 sudah mengambil suntikan vaksin PfizerBioNTech.

“Justeru itu, kita menyeru rakyat Malaysia segera mendaftar bagi mendapatkan suntikan ini kerana ia penting dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Seterusnya membolehkan negara memberi tumpuan kepada proses pemulihan,” katanya pada Program Malaysia Prihatin di Pusat Komuniti Kampung Buntal, di sini, pada Ahad.

Wan Junaidi turut mengingatkan masyarakat untuk tidak mempercayai khabar angin dan laporan palsu mengenai vaksin yang tersebar luas melalui media sosial yang bertujuan untuk menimbulkan ketakutan dan kekeliruan orang ramai.

“Pandemik ini telah memberi kesan kepada kita dalam banyak aspek. Ia melumpuhkan semua sektor dan membuat ekonomi dunia menderita.

“Dianggarkan Malaysia mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dan RM300 juta setiap hari pada PKP kedua tahun ini. “Kita tidak boleh selamanya berada dalam keadaan ini, maka, penyelesaiannya adalah semua orang mengambil suntikan supaya kita dapat membuka sepenuhnya sektor perniagaan dan memulihkan ekonomi.

Terdahulu, Program Malaysia Prihatin merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menyebarkan kesedaran, aspirasi dan harapan kepada semua rakyat dalam memerangi wabak Covid-19 serta mendidik masyarakat mengenai program imunisasi kebangsaan.

Dalam majlis yang sama, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menyampaikan sumbangan bernilai RM200,000 di bawah program Kembali ke Sekolah, tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat.

Sumbangan itu melibatkan 1,000 pelajar dari Dun Tanjong Datu, Pantai Damai dan Demak Laut dan disampaikan kepada wakil sekolah dan juga pemimpin tempatan. Beliau turut menyampaikan dana bantuan perubatan sebanyak RM24,100 kepada 41 penerima yang tinggal di kawasan Santubong.

Suara Sarawak