Hanya perniagaan amal pemeriksaan ketat dibenarkan untuk beroperasi

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi memberi kebenaran kepada pejabat, premis serta kilang yang mengamalkan langkah kesihatan dan keselamatan secara terperinci untuk menyambung semula operasi masing-masing selepas 12 Mei ini.

Rakan Pengurus Negara Grant Thornton Malaysia PLT, Datuk NK Jasani berkata ini termasuk melakukan pemeriksaan suhu badan harian, penggunaan penutup hidung dan mulut, membasuh tangan secara kerap, menjalankan semburan antivirus serta memastikan amalan penjarakan sosial.

Dalam kenyataan hari ini, Jasani berkata syarikat-syarikat perlu menggunakan kaedah sidang video bagi tujuan mesyuarat selain melaporkan dan segera bertindak terhadap sebarang isu kesihatan yang berbangkit.

Malah, tegasnya, syarikat-syarikat juga wajar dipertanggungjawabkan tetapi dibenarkan beroperasi mengikut syarat-syarat berkaitan.

“Jika usaha di atas lewat dilaksanakan, kita mungkin mengalami masalah perniagaan yang gagal, kadar pengangguran yang tinggi serta peningkatan kemiskinan.

“Kita telah dapat melihat impak pandemik itu seperti penutupan (perniagaan), pembuangan pekerja dan bilangan pekerja yang dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Jasani turut memuji kepimpinan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam usaha mengurangkan jumlah kes baharu COVID-19.

“Pada masa sama, kerajaan juga telah mengambil pendekatan yang lebih tertumpu kepada ujian dan pelaksanaan langkah perlu di kawasan yang mencatat jumlah kes kluster yang tinggi.

“Negara ini amat menghargai kegigihan dan kecemerlangan Datuk Dr Noor Hisham, pasukannya serta semua pekerja barisan hadapan. Adalah diharapkan supaya keadaan kembali pulih dan kita dapat bersama-sama mengatasi tempoh mencabar ini,” katanya. – Bernama