Hanya provokasi politik

PADAWAN: Kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menganggap bahawa Sarawak akan bankrap jika terus ditadbir GPS adalah tidak bertanggungajwab.

Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, kenyataan dari Lim Guan Eng hanya untuk meraih undi daripada pengundi Sarawak menjelang PRN akan datang.

Kata Roland, Kerajaan Sarawak tidak menggunakan wang rizab untuk perbelanjaan Sarawak.

Jelas Roland, perbelanjaan Sarawak adalah hasil kutipan cukai dan pelbagai sumber yang ada.

“Kenyataan diberikan Guan Eng adalah bersifat politik dan apa yang dikatakan olehnya adalah tidak betul.

“Belanjawan Sarawak datang dari segala hasil kutipan dan sumber yang terdapat di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak ketika merasmikan pesta Ga’ ak Danu dan sistem tagang di Kampung Danu, hari ini.

Jumaat lalu, Lim Guan Eng ketika majlis makan malam anjuran DAP Sarawak mendakwa negeri ini bakal bankrap dalam masa tiga tahun jika terus ditadbir GPS.

“Selepas satu tahun memerintah, saya akui banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. Tetapi di bawah PH, saya berjanji untuk komited memberikan semula hak dan status Sarawak,” katanya.

Malah Guan Eng mendakwa Sarawak menggunakan belanjawan tahunan sebanyak RM11 billion, sedangkan rizab simpanan adalah RM30 billion.

“Jika perkara ini berterusan, tidak mustahil Sarawak akan muflis seperti Kelantan, menagih duit daripada Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji penjawat awam negeri,” ujarnya.

Gambar fail