Hanya tadika yang berdaftar

KUCHING: Ibu bapa diingatkan untuk memastikan anak mereka dihantar ke taska atau tadika yang berdaftar, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, penyelia dan guru di tadika atau taska berdaftar itu diberikan arahan yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan oleh mereka semasa di premis.

“Tiga komponen yang diberi perhatian oleh mereka termasuk tindakan terhadap ibu bapa yang menghantar anak mereka ke premis, kakitangan dan kanakkanak itu sendiri.

“Kita juga memberi peringatan kepada guru supaya pengambilan suhu badan kanak-kanak dilakukan dan sekiranya mereka bergejala Covid-19, mereka tidak dibenarkan untuk bergaul dengan kanak-kanak yang lain.

“Bukan itu sahaja, ibu bapa akan dimaklumkan mengenai perkara itu untuk kanak-kanak dibawa berjumpa dengan doktor dan sekiranya positif Covid-19, tadika dan taska akan ditutup serta-merta,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan ke Tadika Kurnia di sini, semalam. Selain itu katanya, di tadika atau taska yang berdaftar, premis dan peralatan di premis akan sentiasa disanitasi, malah kedudukan peralatan turut disusun teliti agar selaras pematuhan kepada SOP.

“Selepas beberapa kali pemantauan dilakukan, pematuhan SOP di tadika dan taska yang berdaftar ini sangat tinggi dan saya sendiri merasakan ia tempat yang selamat untuk anak-anak kita. “Jika mereka tinggal di rumah, kita khuatir akan risiko lain berlaku seperti tetamu yang bertandang ke rumah.

“Malah sekiranya mereka ditempatkan di pusat yang tidak berdaftar, kita merasakan pematuhan kepada SOP itu tidak ada. “Ini bukan hanya membahayakan kanak-kanak itu tetapi juga penjaga mereka,” jelasnya.

Fatimah menambah lagi, di tadika dan taska yang berdaftar, kanak-kanak turut didedahkan dengan bahaya Covid-19 dan amalan penjagaan kebersihan dengan kaedah yang menyeronokkan.

“Ini penting kepada kanakkanak yang sedang membesar untuk mereka belajar dalam keadaan yang menyeronokkan walaupun ketika ini pandemik Covid-19. “Guru dan penyelia mengubah suai pendekatan mereka serta aktivti yang dijalankan bersesuaian dengan keadaan semasa supaya sentiasa ada penjarakan fizikal di dalam premis,” ujarnya.

Turut bersama Fatimah semasa lawatan itu, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus serta wakil yang lain.

Suara Sarawak