PUSA: Keadaan Masjid Darul Ihsan yang dibadai ombak dua hari berturut-turut kelihatan semakin teruk, umpama pondok yang sudah tidak berdinding.
Kini, bahagian masjid yang menghadap ke laut hanya tinggal tiang utama. Selepas kejadian hari pertama pada Sabtu, hanya rangka bawah dan lantai yang tercabut.
Namun, ketika ombak laut menjenguk semula buat kali kedua sehari kemudian, dinding dan tingkapnya turut berkecai dan bertaburan di atas pantai.
Menurut cerita penduduk, ombak kuat yang datang hampir mencecah bahagian bumbung masjid.
“Gerun… hanya itu yang dapat digambarkan apabila melihat bagaimana masjid kami dipukul dengan kuat,” kata penduduk.
Menurut mereka, dengan kedudukan Masjid Darul Ihsan yang betul-betul berada di gigi laut, kejadian ombak kuat apabila fenomena pasang besar merupakan perkara biasa.
“Namun kali ini sangat berlainan sehingga masjid kami menjadi seumpama ini.
“Bukan sahaja lantai yang tercabut, tetapi juga dinding, tingkap…semua sudah tiada.
“Ketulan batu turut bertaburan di atas lantai, betapa kuatnya ombak,” ujar mereka.
Sementara pemerhatian di bahagian luar ketika air pasang mencecah paras 6.5 meter,
kelihatan muara Batang Saribas seolah-olah melimpah dengan ketinggian air mencecah gigi lantai masjid.
Jalan menuju ke masjid lama itu pula tidak selamat dilalui kerana arus deras.