SEMEMANGNYA diakui arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini memberi kesan paling perit kepada peniaga kecil kuih kering kerana banyak kuih yang rosak setelah hampir sebulan sudah perniagaan di Bangunan Serbaguna Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) ditutup.
“Kami kebanyakan tidak ada keluarga makan gaji tetap dan hanya mengharapkan pendapatan jualan kuih kering sahaja.
Apabila banyak kuih sudah rosak, maka tidak dapatlah dijual,” luah Azrina Jopri 40, ketika ditemui Suara Sarawak.
Katanya, perasaan marah, sedih dan tiada semangat itu memang tidak dapat disingkir.
“Namun kami akur akan arahan pihak atasan dan kerajaan,” katanya.
Namun langit tidak selalunya mendung, semalam pula, majlis tempatan mengeluarkan arahan membenarkan mereka beroperasi semula.
Katanya, apabila kedai dibuka ia sedikit sebanyak membantu peniaga menjana semula modal untuk membeli kuih kering untuk dijual.
“Memang agak payah, kami memerlukan masa untuk mengumpul semua modal.
“Namun kami bersyukur kerana kerajaan memberikan bantuan.
Namun zaman PKP antara paling mencabar buat kami.
Kami memerlukan tunai untuk kelangsungan hidup, membayar bil dan membeli makanan.
“Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang terbuku di hati kami.
Sejak Mac lalu hingga kini, pendapatan sangat kurang.
Dibenarkan beroperasi dari jam 6 hingga 2 petang pula, jumlah pelanggan yang membeli juga kurang.
Malah dianggarkan sehari pendapatan hanya RM5 hingga RM10 kadang-kadang kami tiada peroleh apa-apa hasil.
“Dengan pembukaan semula kedai ini, saya sangat bersyukur, tiada orang beli pun tidak apa asal dapat buka.
“Dapat rezeki sikit sudah cukup bagi kami.
Larangan rentas daerah menjadikan perniagaan kami semakin teruk.
Dulu, ramai orang datang ke Mukah yang membawa rezeki besar,” jelasnya.
Katanya, dia berusaha mencari modal terlebih dahulu untuk membeli kuih kering baharu kerana kebanyakan jualannya yang ditempah, bukannya dibuat sendiri.
“Saya cuma berharap agar kedai ini tidak lagi ditutup agar tidak menjejaskan kami,” ujarnya yang kini sudah lima tahun mengambil alih kedai tersebut bagi membantu ibunya.
Manakala bagi Ismawi Seruji 60 turut yang berhadapan situasi sama dan berharap proses permohonan bantuan BKSS untuk peniaga kini yang cukup merumitkan perlu dilonggarkan
“Sepanjang tempoh PKP 1.0, saya memang tidak pernah menerima mana-mana bantuan.
Saya ada mengikut peniaga lain mengisi permohonan berserta gambar gerai, yang peliknya sehingga kini tiada jawapan diberikan.
“Lagipun BKSS tersebut terlalu sulit untuk saya isi dan rayuan yang saya buat pun saya tidak dapat,” katanya. Ismawi yang bergantung sepenuhnya dengan pendapatan menjual keropok lekor dan kuih, berharap dengan kebenaran majlis tempatan memudahkan peniaga berniaga.
Hari ini MDDM membenarkan semua gerai dan kedai jualan di bawah seliaan MDDM dibuka
semula dan ia sedikit memberi kelegaan kepada
peniaga.
Bagaimanapun penutupan operasi perniagaan sebelum ini memberi kesan kerugian yang sangat besar kepada peniaga.