Harap calon baharu bawa Kalaka ke puncak

BETONG: Muka baharu yang bakal diketengahkan pucuk pimpinan Parti PBB dalam meneruskan agenda pembangunan Dun Kalaka kelak diharap dapat merealisasikan rancangan menyediakan prasarana pendidikan yang lebih baik selain meningkatkan ekonomi rakyat.

Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz memberitahu, harapan disandarkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai pemimpin yang sangat prihatin mengenai pembangunan sosioekonomi dan peka aspek kebajikan rakyat.

“Abang Johari mempunyai wawasan untuk terus memajukan Sarawak.

“Justeru pada masa akan datang, saya ingin melihat pengganti saya bersama-sama Ketua Menteri berusaha menambah baik bidang pendidikan.

Ini termasuk infrastruktur, kemudahan asas, sosioekonomi dan sebagainya.

“Antara keutamaan ialah membangunkan sebuah sekolah aliran teknikal dan vokasional untuk memastikan generasi muda dari kawasan ini mendapat pendidikan serta latihan yang sesuai dengan kehendak pasaran pekerjaan terkini,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Beliau dalam pada itu menyifatkan Abang Johari yang juga Presiden PBB sangat matang berhadapan liku serta tindak tanduk dalam politik.

“Malah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran.

“Kita boleh melihat pencapaian cemerlang beliau semasa mengemudi Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Kementerian Pelancongan.

“Banyak syarikat elektronik gergasi dari luar negara melabur di Sarawak.

“Malah, beliau sangat aktif memasarkan pelbagai produk pelancongan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya yakin, beliau akan dapat membawa Sarawak ke mercu kejayaan terutama fokus mencapai status negeri maju menjelang 2030,” ujarnya.

Bagaimanapun tambahnya, rakyat berbilang kaum di negeri ini harus memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan beliau iaitu GPS.

“Bagi kami di Dun Kalaka, sememangnya sentiasa mempunyai kerjasama yang baik untuk memastikan Parti PBB dan GPS menang pada PRN-12,” jelasnya.

Beliau semalam mengulangi pendiriannya untuk berundur daripada arena politik.

“Rakyat memberikan sokongan padu kepada bakal calon yang dicadangkan di peringkat akar umbi,” katanya.

Suara Sarawak