Harapan baharu Sarawak

KUCHING: GPS sudah mengulangi pendirian menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri walaupun parti itu menjadi entiti politik kepada Perikatan Nasional.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian selepas kunjungan bersama-sama dua timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Bukit Damansara Kuala Lumpur, jam 6 petang Ahad.

Difahamkan pertemuan itu juga sebagai merakamkan tahniah selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di Istana Negara pada sebelah pagi.

Abang Johari berkata, GPS tetap dengan pendirian tidak akan menjadi ahli kepada parti gabungan yang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan itu.

“GPS tetap menjadi entiti Perikatan Nasional,” katanya ringkas kepada media yang menunggu di luar kediaman Perdana Menteri.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada jam 10.33 pagi.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Suara Sarawak