Harapan dan cabaran guru

KEMENTERIAN Pendidikan mengumumkan akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.

Sejak itu, orang awam mula memberi pendapat dan buah fikiran mereka mengenai perkara ini. Ada yang mengatakan ini merupakan peluang terbaik para graduan memperoleh pekerjaan dalam dunia yang semakin sukar mendapat pekerjaan.

Isu kekurangan guru bukan satu isu baharu di Malaysia ataupun di Sarawak kerana sejak dahulu lagi isu ini pernah dikemukakan pihak berkaitan.

Sarawak telah mengalami masalah kekurangan guru sekian lama, lebih-lebih lagi kawasan negeri Sarawak yang sangat luas menyebabkan masalah kekurangan guru semakin meruncing.

Namun, sejak penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan penutupan sekolah fenomena ini menjadi titik permulaan kepada kepentingan peranan guru dalam mengajar anak-anak.

Ibu bapa mula sedar betapa susahnya mengajar anak-anak di rumah dengan penuh kesabaran dan tenang seperti seorang guru yang mengajar murid di sekolah.  Rata-rata ibu bapa meluahkan perasaan mereka di media sosial bahawa mengajar anak-anak belajar merupakan salah satu cabaran besar bagi mereka.

Melalui keadaan ini, peranan guru mula terserlah dan ramai pihak mula mengakui tugasan seorang guru amat berat kerana dalam sebuah kelas mereka perlu bersikap tenang dan sabar dengan kerenah belasan atau puluhan murid.  Jika dahulu kita sering menemui cerita-cerita tentang guru yang mengajar di luar bandar dengan keadaan sekolah yang usang dan sebagainya.

Memang masih ada lagi keadaan seperti itu, namun apabila perubahan masa berlaku kini kita mula beralih kepada masalah guru yang menghadapi masalah sambungan telekomunikasi yang lambat.  Perkara ini banyak diluahkan oleh persatuan yang mewakili guru yang memohon agar telekomunikasi di negara ini dinaik taraf dengan secepatnya supaya rangkaian telekomunikasi  boleh digunakan oleh mereka semasa mengajar cepat dan pantas.

Permintaan ini ditambah lagi dengan keadaan pandemik Covid-19 yang semakin memburuk sehingga penutupan sekolah untuk kali kedua sekitar Mei lalu.

Apabila melihat kepada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin membuat pengambilan khas guru di negara ini, terdetik di hati kita, adakah kerja sebagai guru masih menjadi pilihan utama generasi muda masa kini?

Jika waktu kecil kita sering menjawab bercita-cita menjadi seorang guru kerana kerjaya ini dilihat sangat mudah dan senang.  Malah, ibu bapa ramai yang menggalakkan anak-anak mereka menjadi seorang guru sebab melihat kerjaya ini sebagai satu platform yang sangat ideal dan menjanjikan masa depan yang cerah.

Namun, seiring peredaran zaman tugasan seorang guru janganlah dilihat mudah dan senang sebab ibu bapa yang mengajar anak sejak pandemik Covid-19 menular mampu menjawab peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh guru amatlah berat.

Cabaran menjadi guru kini bukan sahaja terletak pada sikap dan kepakaran mereka mengajar, tetapi perlu mengadaptasi teknologi digital yang semakin membangun.

Tidak hanya itu, guru juga harus bertungkus-lumus mengubah pendekatan mengajar daripada bersemuka kepada platform dalam talian. Walaupun kerjaya ini dilihat mencabar namun, masih ramai yang meminati tugasan sebagai seorang guru kerana ingin membantu generasi muda berjaya.

Malah, kerjaya sebagai guru dilihat sebagai satu tanggungjawab yang mulia di mata masyarakat kerana boleh mendidik murid-murid menjadi seorang insan yang berguna pada masa akan datang.

Suara Sarawak