KUCHING: Kerajaan bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP), Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataan, menyatakan ia sebagai antara pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu pekebun kecil getah, dengan IPG yang diperkenalkan sejak 2015 telah membantu seramai 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara.
“Sehingga kini, bantuan telah diagihkan kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara dengan nilai berjumlah RM446 juta (Semenanjung – RM313 juta; Sarawak – RM4 juta dan Sabah – RM129 juta),” katanya.
Selain itu, KPK berkata kerajaan turut memperkenalkan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), dengan setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL akan menerima insentif tunai sebanyak RM1 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).
Pada masa sama, katanya para peserta juga akan menerima bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off).
Menurut KPK, harga getah adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa.
Selain itu, antara faktorfaktor lain yang mempengaruhi harga getah asli adalah seperti prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeluar serta pengimport utama getah dunia.