Harga lada di pasaran meningkat

KUCHING: Harga lada yang dijual di pasaran negara menunjukkan peningkatan meskipun terdapat persaingan sengit dari negara pengeluar yang lain.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin, harga lada hitam yang dijual di pasaran ketika ini adalah RM10.10 sekilogram manakala harga lada putih pula RM17.40 sekilogram.

Beliau berkata meskipun terdapat persaingan, lada yang dihasilkan oleh Malaysia terutamanya Sarawak mempunyai kualiti yang tinggi dan mempunyai aroma yang tersendiri.

Justeru itu, Willie menggesa kelebihan tersebut harus diperkembangkan oleh pemegang taruh dan pengusaha industri lada.

“Semua pengusaha lada diseru untuk terus memberikan sokongan penuh dan turut mengharapkan penglibatan aktif mereka dalam setiap sektor peladangan dan komoditi negara.

“Saya yakin sektor ini akan terus berkembang pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis pengagihan pelitup muka dan pembersih tangan kepada pemegang taruh industri lada di Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia, di sini hari ini.

Suara Sarawak