ARTIKEL

Mohamad Sabu menyampaikan pakej bantuan mekanisasi kepada syarikat-syarikat peneraju di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Tanjung Bijat dan Koperasi Pertanian Sri Aman Berhad yang keseluruhannya bernilai RM810,000 bagi menggiatkan lagi penanaman yang mengaplikasikan teknologi moden.

Harga lantai pembelian padi S’wak, Sabah RM1,300 per tan metrik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SRI AMAN: Harga lantai belian padi ditetapkan kepada RM1,300 per tan metrik di Sabah dan Sarawak yang akan dikuatkuasakan bermula 15 Februari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah menyeragamkan harga minimum terjamin di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung itu mampu menyokong industri padi dan beras di Sarawak dan Sabah supaya terus kekal mampan dan berdaya saing.

Pada masa sama, katanya ia berupaya membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan mereka untuk meningkatkan pengeluaran padi.

“Pada masa ini, harga belian padi Sabah dan Sarawak adalah agak rendah iaitu sekitar RM900 hingga RM1,100.

“Kerajaan amat prihatin terhadap keluh kesah dan aduan daripada pesawah berkaitan harga belian padi oleh pengilang sebelum ini dengan kadar yang jauh lebih tinggi.

“Justeru pada hari yang baik ini, sukacita saya mengumumkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak ditetapkan pada kadar RM1,300 per tan metrik sepertimana terpakai kepada pengusaha padi di Semenanjung selaras dengan pengumuman Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke Jelapang Padi Batang Lupar di sini, hari ini sempena lawatan kerja rasmi beliau selama tiga hari ke Sarawak, dengan diiringi Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Mohamad Sabu menambah pada masa ini, harga belian padi di Sabah dan Sarawak adalah ditentukan berdasarkan harga pasaran semasa dengan harga minimum terjamin RM750 per tan metrik dan pemutuan padi secara tawaran di antara 14 peratus hingga 16 peratus.

Katanya penetapan harga lantai belian padi hanya melibatkan beras putih sahaja dan tidak termasuk beras istimewa atau tradisional yang dikeluarkan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, beliau berkata walaupun berdekad lamanya terlibat dalam pengeluaran padi dan beras, Malaysia masih lagi bergantung kepada beras putih import.

Katanya berdasarkan statistik tahun 2022, tahap sara diri beras negara (SSR) adalah sebanyak 62.6 peratus, dengan jumlah beras yang dihasilkan oleh negara hanya sebanyak 1.6 juta tan metrik berbanding keperluan sebanyak 2.5 juta tan metrik setahun.

Menjelas lanjut, Mohamad Sabu berkata pada ketika ini, Kedah merupakan pengeluar bekalan beras utama negara iaitu 36.6 peratus daripada jumlah pengeluaran negara, disusuli oleh Kelantan (11.9 peratus), Perak (11.8 peratus), Perlis (10.2 peratus) dan lain-lain negeri (29.5 peratus).

“Daripada peratusan tersebut, sumbangan Sarawak kepada pengeluaran padi negara adalah sebanyak 6.5 peratus,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU