Harga rumah kekal stabil

KUCHING: Harga pasaran rumah kekal stabil meskipun negara kini dilanda gelombang ketiga Covid-19, jelas Pengerusi Persatuan Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) Cawangan Kuching Datuk Sim Kiang Chiok.

Menurutnya, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diumumkan pada Jun lalu turut membantu memulihkan pasaran hartanah namun tidak pada tahap pra-Covid-19.

“Harga rumah stabil kecuali untuk pembangunan dalam kempen HOC, iaitu terdapat diskaun mandatori 10 peratus harga yang diluluskan oleh pemaju.

“Dengan gelombang ketiga Covid-19 ini, jualan rumah dijangka terjejas lagi,” jelasnya.

Kiang Chiok berpendapat penangguhan pembayaran bank, subsidi upah dan HOC telah membantu memulihkan pasaran perumahan.

Justeru, beliau menjangkakan harga rumah akan kekal stabil dengan beberapa tawaran diskaun akan diberikan oleh pemaju.

Dalam perkembangan lain Kiang Chiok berkata, bantuan daripada bank dan kerajaan amat diperlukan dalam gelombang ketiga ini untuk meningkatkan lagi permintaan rumah dan produktiviti persekitaran perniagaan semasa pandemik ini.

Selain itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan melanjutkan penangguhan pembayaran bank selama enam bulan iaitu sehingga Jun 2021.

Jelasnya, bantuan dan penangguhan pembayaran bank itu harus melibatkan semua sektor perniagaan yang terjejas ketika ini.

Suara Sarawak