SIBU: Sayur import dan tempatan di negeri ini akan mengalami kenaikan harga 10 peratus hingga 20 peratus sehingga penghujung Disember ini.
Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, sayur import yang terjejas akibat kenaikan harga termasuk kobis bulat (China), kobis Beijing, kembang kol dan brokoli.
“Menurut pengeluar dan pengimport, faktor utama kenaikan harga sayur import adalah cuaca sejuk di China yang menjejaskan tanaman sayur-sayuran terutama sayur berdaun.
“Selain itu, peningkatan kadar pertukaran dolar AS berbanding Ringgit Malaysia juga menjadi faktor kenaikan harga sayur,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pemborong dan pengimport juga memaklumkan caj penghantaran lebih mahal.Kelewatan penghantaran sayur juga menyumbang kepada kenaikan harga sayur, jelasnya.
Sementara itu, bagi sayur tempatan ulas Tan, tiada masalah dari segi bekalan tetapi berlaku kenaikan harga antara 10 peratus hingga 20 peratus bagi sayur sawi, kacang, kacang panjang dan cili.
“Kenaikan harga sayur tempatan disebabkan musim tengkujuh sekarang,” katanya.Beliau memberitahu, notis untuk mendapatkan maklumat berkaitan kos dan harga di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah diserahkan kepada pemborong, pengimport dan peruncit terbabit dan KPDNHEP Sarawak masih menunggu maklum balas.
“Pemborong dan pengimport memberi jaminan keadaan ini adalah sementara dan bekalan serta harga sayur akan pulih seperti biasa penghujung Disember selepas cuaca bertambah baik,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menasihati pengguna agar membuat perbandingan harga barangan dengan memuat turun aplikasi Price Catcher menggunakan platform Android dan iOS untuk membantu menangani kos sara hidup.
“Aplikasi ini memaparkan maklumat harga lebih 400 barangan keperluan pengguna di seluruh negara pada setiap hari, mingguan dan bulanan.
“Melalui aplikasi ini, pengguna dapat menjimatkan masa dan kos untuk membuat perbandingan harga antara premis yang berbeza di sesuatu kawasan,” tambahnya.Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak tegasnya, akan terus membuat pemeriksaan di setiap peringkat pengedaran bagi memastikan harga sayur di pasaran masih relevan dan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang didapati menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang kepada pihak kementerian melalui: portal e-aduan e-aduan (https://eaduan.kpdnhep.gov.my), talian hotline 1 800 886 800, E-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP di talian 03-88826088/6245.