KUCHING: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) tidak mengawal selia kadar tambang penerbangan di negara ini kerana harga tiket ditentukan oleh kuasa pasaran.
Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu kadar penerbangan yang tinggi bagi laluan ke Sabah dan Sarawak khususnya ketika musim perayaan Kaamatan dan Gawai.
Justeru, katanya, Kerajaan Persekutuan telah memberikan subsidi untuk mengehadkan kadar tambang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sebanyak RM300 pada musim tersebut bagi membolehkan orang ramai pulang ke negeri masing-masing.
“Selain itu, inisiatif FLYsiswa Kementerian Pengangkutan turut menawarkan baucar RM300 untuk pembelian tiket penerbangan kepada pelajar yang mendaftar di institusi pengajian tinggi awam di seluruh Malaysia.
“Baucar itu boleh ditebus untuk satu atau beberapa pembelian penerbangan sehingga 31 Disember tahun ini, dengan tempoh perjalanan sehingga akhir Mac tahun depan.
“Ini adalah antara inisiatif yang diambil kerajaan untuk mengurangkan tambang penerbangan dan membolehkan lebih ramai orang pulang ke rumah pada musim perayaan atau cuti,” katanya dalam sesi bersama media Sarawak, di sini, semalam.
Tambahnya, MAVCOM tidak boleh mengawal tambang penerbangan tetapi menggalakkan persaingan sihat dalam industri penerbangan, meningkatkan ketersambungan udara serta standard perlindungan pengguna penerbangan.
“Suruhanjaya juga diberi kuasa untuk mentadbir dan mengurus skim Kewajipan Perkhidmatan Awam (PSO) dalam industri penerbangan di Malaysia.
“Manakala Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pengangkutan kekal sebagai pembuat keputusan dasar utama.
“Di bawah perjanjian PSO yang dimeterai dengan kerajaan pada Januari 2019, MASwings mengendalikan 30 laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sarawak dari 2019 hingga 2024,” jelasnya.
Mengulas lanjut katanya, apabila perjanjian itu tamat pada 2024, pihaknya akan menjalankan latihan rasionalisasi untuk menilai semula laluan tersebut.
“Kami sedang meninjau untuk menambah dua lagi lapangan terbang lepas landas dan pendaratan pendek baharu (STOLport), tetapi ia belum dimuktamadkan lagi.
Jadi, saya tidak boleh dedahkan lokasinya,” katanya.
Mengenai kos operasi RAS, katanya, ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan dalam bentuk subsidi dan bayaran pajakan pesawat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (COO) MAVCOM Raja Azmi Raja Nazuddin, Pengarah Pembangunan Penerbangan Jaffar Derus Ahmad, Pengarah Pengguna dan Awam Pushpalatha Subramaniam dan Pengurus Kanan Pembangunan Penerbangan Karen Leiking.