Hargai arkitek pembangunan Bintulu

BINTULU: Pembangunan pesat Bintulu adalah hasil perancangan dan idea Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sepanjang beliau menjadi Ketua Menteri.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata pembangunan pesat itu dapat dilihat dari segi fizikal bandar dan keadaan Bintulu masa kini, berbanding beberapa tahun lalu.

Menyifatkan Taib sebagai arkitek pembangunan Bintulu, beliau berkata idea dan pelaksanaan idea Taib telah mengubah wajah Bintulu sehingga menjadi kawasan perindustrian kosmopolitan yang menyumbang kepada peningkatan pelabur serta melahirkan ramai ahli perniagaan tempatan yang berjaya.

Talib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu 2019 di Hotel ParkCity Everly, di sini.

 

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diiringi Menteri Muda E-Dagang, Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais hadir pada majlis tersebut.

Justeru, Talib, yang juga Adun Jepak mengajak penduduk Bintulu kekal bersatu sekali gus

mempertahankan perpaduan kaum yang sedia terjalin supaya pembangunan bandar ini berjalan lancar mengikut perancangan.

Beliau turut berharap penduduk Bintulu bergaul mesra dan meraikan perayaan bersama bagi memperkukuh dan mengeratkan hubungan yang sedia terjalin selama ini.