Hargai bantuan bayar baki pinjaman PTPTN

KUCHING: The Sarawak Initiatives (TSI) menyambut baik langkah Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak berhubung bantuan membayar balik baki pinjaman 30 peratus kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi TSI Datuk John Tenewi bagaimanapun percaya, banyak yang boleh dilakukan untuk membantu pelajar daripada keluarga golongan berpendapatan rendah dan yang berjuang untuk membayar balik pinjaman mereka serta memikul tanggungjawab kewangan keluarga.

“Setiap orang berhak mendapat pendidikan dan bantuan kewangan. Pelajar yang layak harus dinilai berdasarkan prinsip ekuiti dan bukan ketaksamaan,” katanya satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut John, membantu membayar balik pinjaman pelajar telah diamalkan banyak negara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) dan malahan di beberapa negara, mereka menawarkan pendidikan percuma hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Katanya, banyak universiti turut membenarkan pelajar memohon biasiswa dan bantuan kewangan yang pada kebiasaannya diberikan berdasarkan keperluan.

“Ini dilakukan berdasarkan prinsip bahawa tidak ada orang yang harus ketinggalan dari segi pendidikan hanya kerana masalah kewangan. “Sebuah keluarga biasanya menjangkakan dapat membuat pinjaman termasuk gadai janji rumah, pinjaman kenderaan sebagainya bagi keluarga daripada golongan berpendapatan rendah bahkan tidak mampu membeli rumah atau kenderaan.

“Oleh itu, program pemilikan rumah adalah keutamaan utama kerajaan untuk rakyat kita. Maka, usaha membayar balik pinjaman pelajar daripada golongan berpendapatan rendah dapat membantu mereka dalam pemilikan rumah dengan lebih cepat,” jelasnya.

John menambah, bayaran balik pinjaman pelajar turut membantu kitaran ekonomi sesebuah keluarga. “Mereka akan mempunyai lebih banyak pendapatan yang akan digunakan untuk membeli barangan keperluan serta perkhidmatan sehingga mewujudkan penggunaan domestik yang lebih tinggi dan membantu perniagaan.

“Jadi, langkah untuk membantu membayar balik pinjaman pelajar juga membantu merapatkan jurang ketidaksamaan pendapatan yang semakin meluas di negara kita,” katanya lagi.

Selain itu, katanya, mereka yang daripada golongan mewah akan membayar balik pinjaman mereka sementara pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah akan diberi bantuan kewangan agar mereka tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan yang baik.

John berkata lagi, membayar balik pinjaman pelajar turut akan melegakan tekanan mental peminjam. “TSI ingin mencadangkan agar program bayaran balik pinjaman ini menyasarkan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah yang mengalami masalah kewangan dan menghadapi kesukaran terbesar untuk membayar pinjaman mereka.

“TSI ingin mendesak Kementerian Pengajian Tinggi untuk membatalkan 100 peratus hutang pelajar daripada keluarga golongan berpendapatan rendah. “Kementerian mungkin boleh melancarkan program untuk mengenalpasti kumpulan pelajar ini,” ujarnya.

Suara Sarawak