Trending

Hargai petugas barisan hadapan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Tadika Krista Taman Centurion komited dalam menghargai pengorbanan dan jasa yang diberikan oleh petugas barisan hadapan Covid-19 melalui projek komuniti 1Heart1Bless 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia salah satu projek penting dalam membentuk dan menerapkan nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.

“Pendidikan awal kanak-kanak penting kerana ia merupakan asas kepada pembinaan watak seseorang. “Sehubungan itu, perkara yang dilaksanakan oleh Tadika Krista dengan melibatkan kanak-kanak dan ibu bapa bersama dalam projek tersebut adalah untuk menerapkan nilai berterima kasih, bersyukur dan mendidik anak-anak bila dan bagaimana untuk mengucapkan terima kasih,” katanya dalam sidang media berkaitan dengan sumbangan daripada Tadika Krista kepada petugas barisan hadapan di Baitul Makmur II di sini pada Isnin.

Menurutnya, ia satu cara untuk menghargai mereka yang telah berkerja keras untuk memastikan keselamatan rakyat daripada pandemik Covid-19.

“Ia juga satu cara kreatif terutama sekali apabila tadika tidak dibenarkan untuk beroperasi khasnya di kawasan zon merah,” jelasnya. Fatimah turut berkata, projek yang dilakukan oleh Tadika Krista tersebut perlu dicontohi oleh tadika lain di negeri ini.

TERIMA KASIH BARISAN HADAPAN… Fatimah Abdullah menerima cenderamata daripada Pengetua Tadika Krista Vicky Chua
Boon Kee (empat kiri) sambil disaksikan oleh Yoke Han (tiga kiri) serta wakil yang lain.

Ia bukan hanya dari segi mendidik dan membimbing anak-anak dalam pendidikan awal tetapi juga pembinaan karakter, sahsiah dan akhlak kanak-kanak itu sendiri.

Sementara itu, Pengarah Tadika Krista Koh Yoke Han berkata, tadika berkenaan bukan hanya menekankan pendidikan kanak-kanak tetapi pembentukan nilai moral.

“Dalam pembahagian markah, kami turut membahagikan 50 peratus kepada pendidikan dan 50 peratus kepada penerapan nilai murni kanak-kanak.

“Pada tahun ini, dalam projek 1Heart2Bless kami melibatkan kanak-kanak dan ibu bapa untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata, apabila tadika tidak dibenarkan untuk beroperasi pada minggu lalu, mereka menugaskan setiap kanak-kanak membawa dua kad kosong pulang ke rumah.

“Tugasan tersebut perlu disiapkan oleh mereka bersama ibu bapa kerana kami mahu mereka mengeratkan lagi hubungan bersama ibu bapa.

“Setelah selesai, setiap kad akan diletakkan di dalam kotak dan kami mengagihkan kepada petugas hadapan di dua tempat terpilih iaitu di Kampung Haji Baki dan Hospital Umum Sarawak (HUS),” jelasnya lagi.

Sebanyak 400 kad diberikan kepada petugas barisan hadapan di kedua-dua tempat berkenaan termasuk 500 bekas makanan berisi buah pada 10 November lalu.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru