Trending

Hargai sumbangan pengasas, veteran parti

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching menjemput 100 ahli veteran bagi menghadiri malam penghargaan sempena sambutan bagi memperingati ulang tahun ke-64 parti tersebut.

Setiausaha Publisiti dan Penerangan SUPP Cawangan Kuching Peter Pui berkata, majlis terbabit dijadual akan berlangsung di Joyous Shanghai pada 29 Jun bermula jam 6:30 petang.

Menurutnya, tujuan utama penganjuran program adalah sebagai penghargaan terhadap sumbangan yang diberikan oleh pengasas dan ahli terdahulu dalam memartabatkan parti ke arah kecemerlangan yang dikecapi sehingga kini.

“Semangat pengasas dahulu yang meletakkan semangat perjuangan mereka terhadap pertumbuhan parti merupakan suatu penghormatan yang perlu diingati.

“Jadi kita menjemput kira-kira 100 veteran parti untuk mengambil bahagian pada majlis sekali gus memeriahkan acara yang akan dilangsungkan kelak,” katanya ketika berucap pada sidang media di bangunan SUPP Cawangan Kuching hari ini.

Tambahnya, acara terbabit bakal menampilkan pengiktirafan kepimpinan cemerlang kepada ahli terpilih yang memainkan peranan penting dalam membentuk trajektori parti.

Dalam perkembangan sama, Pui menegaskan, pihaknya tetap menyambut baik sokongan dan penglibatan secara tidak langsung veteran berkongsi pandangan dan pendapat mereka biarpun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti.

Dedahnya, terdapat beberapa veteran masih bergiat aktif dalam membuktikan sokongan padu terhadap parti biarpun ada di antaranya sudah berusia.

“Pengalaman mereka (veteran) itulah yang membuatkan mereka istimewa. Mereka mempunyai kebijaksanaan dan pendapat berharga tersendiri dan semestinya kita amat memerlukannya sebagai bimbingan.

“Pendapat dan pandangan strategik yang tidak ternilai membolehkan parti terus teguh berkhidmat kepada rakyat dan merealisasikan prinsip dan objektif penubuhannya,” katanya lagi.

Untuk rekod, SUPP Cawangan Kuching merupakan cawangan kedua tertua selepas Sibu yang ditubuhkan pada 29 Jun 1959.

Dalam pada itu, Pui berharap majlis dapat membentuk ikatan perpaduan yang lebih erat dalam kalangan semua ahli parti di samping menggesa mereka bekerjasama bagi memupuk suasana politik yang positif.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru