Hari Bapa, Covid-19 dan PKP

BEBERAPA hari lepas, tanpa sedar ada satu hari khas untuk lelaki bergelar bapa, ayah, daddy, ami dan apa-apa sahaja gelaran yang diberikan.

Tiada sambutan seperti Hari Ibu yang meriah. Namun, sambutan ala kadar diraikan bersama-sama keluarga kecil.

Bapa seorang yang bergelar bapa, sambutan itu tidak penting. Cukup sekadar ucapan sudah mampu membuatkan si bapa tersenyum puas.

Seolah-olah segala beban yang ditanggung di kedua-dua bahu menyara keluarga dan membesarkan anak-anak terasa terbalas.

Itulah lelaki bernama bapa. Dia sanggup ketepikan apa-apa sahaja kesakitan, kesusahan demi sesuap nasi untuk keluarga.

Meminjam kata-kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, “pastikan ada makanan di atas meja”, inilah yang difi kirkan oleh bapa setiap kali membuka mata setelah bangun dari tidur.

Atas alasan itulah, si bapa sanggup berjalan jauh semata-mata untuk mendapatkan sedikit makanan untuk ahli keluarganya. Biar dia sendiri berlapar, asalkan anak-anak dapat tidur dengan perut yang kenyang.

Ini bukan cerita biasa, tetapi sesuatu yang luar biasa. Di Facebook, banyak diceritakan tentang kisah bapa sebegini. Pernah di restoran makanan segera, si bapa menemani dua anaknya makan di restoran makanan segera. Dua anaknya yang masih kecil asyik makan makanan yang sekian lama diidam- idamkan.

Si bapa pula hanya duduk melihat keletah anak-anak. Walaupun dia juga lapar dan inginkan ayam goreng, kentang goreng dan air bergas, dia ketepikan. Paling utama anaknya dapat menikmati makanan itu.

Rupa-rupanya si bapa tadi sudah lama menyimpan wang semata-mata untuk memenuhi keinginan anaka-naknya.

Perintah Kawalan Pergerakan Kemudian, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, bukan sedikit cerita tentang bapa diketengahkan.

Misalnya, seorang bapa – ceritanya dia berbasikal mengejar kenderaan semata-mata untuk mendapatkan bantuan makanan.

Melihat si bapa tadi, pemandu kereta itu berhenti dan bertanyakan akan tujuannya.

“Saya inginkan sedikit makanan… bukan untuk saya tetapi untuk isteri dan anak-anak saya di rumah. Sudah beberapa hari kami tak makan.”

Meruntun jiwa mendengar penjelasan si bapa tadi. Dalam kepayahan akibat ketiadaan kerja – tidak dapat melakukan sebarang kerja akibat PKP, dia masih lagi memikirkan setiap ahli keluarganya.

Lebih sedih dia tidak berjaya memperoleh makanan.

Sebabnya, makanan yang dibawa adalah untuk orang lain. Tetapi, dia dijanjikan bantuan pada keesokan harinya.

Maknanya, dia sekeluarga perlu berlapar semalam lagi. Janji ditepati. Dia mendapat bantuan makanan daripada orang yang ingin membantunya.

Puas mendapat makanan dan mengayuh basikal pulang ke rumah.

Gambarnya mengayuh basikal sempat diambil untuk tatapan netizen.

Bayangkan wajah isteri dan anak-anak menerima makanan itu. Pasti tersenyum riang. Dua cerita yang cukup menyentuh hati lebih-lebih sepanjang PKP.

Semuanya disebabkan pandemik Covid-19 yang menyebabkan seluruh dunia melaksanakan perintah berkurung dan kawalan pergerakan.

Ramai yang hilang punca pendapatan dan ada yang diberhentikan kerja. Namun ia tidak melunturkan semangat seorang bapa. Dia sanggup berbaris panjang dan berdiri berjam-jam di depan bank untuk mengeluarkan wang yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

Malah, ada yang sudah bersedia berbaris seawal 5 pagi lagi. Jika hari ini tidak berjaya, keesokan hari dia melakukan rutin yang sama. Jika tidak, keluarganya terputus bekalan makanan.

Setelah duit sudah di tangan, si bapa akan menuju pasar raya atau kedai runcit berdekatan – tidak lebih 10 kilometer jaraknya dari rumah kediamannya.

Sekali lagi dia berbaris sebelum dibenarkan masuk. Setelah keperluan dibeli, si bapa tadi menghubungi isterinya untuk memastikan anak-anak sudah masuk ke dalam bilik. “Pastikan anak-anak di bilik,” arahnya. Cuci Pakaian Sejurus tiba di rumah, si bapa tadi akan membersihkan diri (mandi) sama ada di luar rumah ataupun terus memasuki bilik mandi. Pakaian segera dicuci bagi memastikan tidak membawa virus Covid-19 pulang rumah.

Setelah semuanya selesai, barulah si bapa tadi berjumpa dengan anak-anaknya. Sama-sama makan makanan yang dibelikan tadi.

Bagi Muslim, si bapa sedaya-upaya melatih diri untuk menjadi imam solat di rumah. Bukan sahaja solat fardu, tetapi juga solat terawih.

Sesuatu yang tidak pernah dibuat – hanya menjadi makmum solat terawih di surau atau masjid.

Kali ini si bapa tadi perlu menjadi imam kepada keluarganya. Kemudian, diteruskan dengan solat sunat Aidilfitri. Ada yang turut membaca khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam – lengkap membawa tongkat.

Inilah keindahan PKP apabila berjaya melatih si bapa untuk menjadi bapa yang lebih bertanggungjawab terhadap keluarganya.

Bukan sahaja dalam aspek penyediaan kemudahan asas di rumah terutama makanan, tetapi juga keperluan rohani setiap ahli keluarganya. Pengorbanan bapa bukannya kecil lebih-lebih lagi ketika pelaksanaan PKP.

Dia sanggup membahayakan dirinya berdepan dengan virus Covid-19 – tidak kelihatan pada mata kasar semata-mata untuk memastikan ada makanan di atas meja.

Jika bukan bapa yang melakukannya, siapa lagi? Tahniah kepada bapa yang berjaya menjadikan PKP sebagai sekolah pondok mendidik diri sendiri menjadi lebih bertanggungjawab dan berjaya melaksanakan tugas seorang bapa.

Selamat Hari Bapa.