Hari Keluarga PPWS Sarikei meriah

SARIKEI: Seramai 303 ahli memeriahkan sambutan Hari Keluarga anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Sarikei, di Dewan Sentral di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Pengerusi PPWS Sarikei, Haidah Nor memberitahu, kesemua ahli berkenaan mewakili 18 cawangan PPWS di Sarikei, Bintangor, Bukit Kinyau, Tanjung Manis, Rajang, Jerijeh dan Belawai.

Menurutnya, program merupakan salah satu wadah untuk menyatu dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan ahli.

“Melalui aktiviti ini, kita dapat berkumpul bersama di samping berpeluang lebih mengenali antara satu sama lain.

“Saya gembira dengan jumlah mereka yang datang menjayakan program ini. Malah mereka memberikan kerjasama dengan cukup baik,” katanya.

Acara senamrobik menyerikan program yang berlangsung di Dewan Sentral Sarikei.

Beliau berkata, antara acara yang diadakan termasuklah senamrobik, pertandingan mewarna, gubahan bunga, pertandingan make up, fancy dress dan sukaneka.

Ujarnya, PPWS Sarikei sentiasa mengambil langkah proaktif dan terus melangkah maju ke hadapan dengan pelbagai aktiviti.

“Usaha ini selaras dengan matlamat kita untuk memperkasakan peranan ahli di samping meningkatkan jumlah keahlian terutamanya dalam kalangan golongan muda,” jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PPWS Daerah Sarikei, Chung Chan Ho.

Program bertujuan mengeratkan hubungan antara ahli.