Hari Krismas 2020 disambut sederhana

KOTA SAMARAHAN: Perayaan Hari Krismas tahun ini disambut dengan penuh sederhana ekoran berlaku pandemik Covid-19.

Menurut Ganit Gunarso Serung, 26 tahun suasana perayaan Krismas kali ini jauh berbeza termasuk sambutan di gereja.

“Upacara sembahyang Krismas pada pagi ini juga dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Ia termasuk dengan had waktu di gereja, penjarakan fizikal dan lain-lain,” katanya yang berkongsi pengalaman kepada Suara Sarawak, hari ini.

Tambah Ganit, sambutan Hari Krismas pada tahun ini juga lebih kepada berkumpul bersama-sama dengan keluarga sahaja.

“Ini kerana tiada rumah terbuka yang melibatkan orang ramai dan aktiviti nyanyian karol (caroling) dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.

“Selain itu, aktiviti kunjung-mengunjung juga tidak digalakkan ketika ini,” ujarnya.

Ganit menjelaskan, meskipun perayaan kali ini disambut dengan penuh sederhana itu tidak menjadi masalah yang besar kepada keluarganya.

“Kami tetap gembira dengan sambutan Hari Krismas tahun ini, dan berharap agar semua pihak khususnya masyarakat Kristian akur dengan SOP yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Ganit Gunarso Serung

 

Suasana ketika sambutan Hari Krismas di Gereja BEM Shalom Elohim Serian, hari ini.