ARTIKEL

People clean up plastics and other debris washed ashore at a beach in Banda Aceh on April 27, 2024. (Photo by CHAIDEER MAHYUDDIN / AFP)

Hari Lautan Sedunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JAKARTA: Menteri Kelautan dan Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono menyeru rakyat Indonesia untuk memastikan laut negara itu kekal bersih dan sihat sempena sambutan Hari Lautan Sedunia.

“Jadikan laut sebagai halaman depan kita. Jangan buang plastik dan segala jenis sampah ke laut. Kita semua mesti memastikan bahawa laut kita bersih, kerana ia memberi kehidupan kepada manusia,” tegasnya.

Bersempena dengan sambutan Hari Lautan Sedunia, Kementerian Kelautan dan Perikanan telah merancang untuk mengadakan pembersihan pantai serentak di 23 daerah dan bandar di seluruh Indonesia.

Program pembersihan pantai itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk menyokong pemuliharaan marin Indonesia dan kelestarian sumber perikanan.

Walaupun laut yang bersih dan sihat penting untuk kehidupan manusia, Trenggono menekankan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang belum menyedarinya.

Tegasnya, rakyat Indonesia tinggal di negara maritim, justeru laut mesti dianggap sebagai halaman depan rumah mereka, katanya.

“Sebagai halaman depan, laut mesti dijaga kebersihannya,” katanya sambil mengingatkan bahawa amalan perikanan yang lestari juga harus dilaksanakan secara konsisten.

Berkaitan dengan Hari Lautan Sedunia yang disambut secara global pada 8 Jun setiap tahun, tema tindakan tahun ini adalah Pemangkin Tindakan untuk Lautan dan Iklim Kita.

Laman rasmi Hari Lautan Sedunia, yang diakses ANTARA pada Sabtu, menyatakan bahawa tema tindakan itu dipilih untuk menggalakkan pihak berkepentingan bekerjasama dalam mewujudkan planet biru yang sihat serta masyarakat yang lebih adil, saksama dan mampan.

Untuk mencapai matlamat tema tindakan ini, kempen Hari Lautan Sedunia menyeru kerajaan dan semua pihak berkepentingan, termasuk penggubal undang-undang dan pemimpin korporat, untuk mendorong beberapa usaha.

Antara inisiatif yang mesti dipacu termasuk menggunakan penyelesaian iklim yang sedia ada dengan paling berkesan, mempercepatkan peralihan yang adil kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui, dan menghentikan pengekstrakan bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas.

Selain itu, kempen Hari Lautan Sedunia juga menyeru agar penggunaan plastik sekali pakai dihentikan secara berperingkat serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

Ia adalah untuk mengambil tindakan bagi membawa perubahan dalam komuniti mereka, serta memelihara dan memulihkan ekosistem pantai dan lautan secara semula jadi serta daratan dengan menetapkan kawasan yang dilindungi meliputi sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan perairan menjelang 2030. – Bernama-ANTARA 

BERITA LAIN

PM Thailand disahkan positif COVID-19

BANGKOK, Thailand: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, mengesahkan semalam bahawa beliau positif COVID-19. Srettha mengumumkan di akaun rasmi X miliknya bahawa beliau akan mengambil cuti

BERITA TERBARU

Didik anak-anak untuk elak gangguan seksual, rogol

KUCHING: Agensi kerajaan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bekerjasama dalam memberi didikan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat kepada kanak-kanak dalam usaha meningkatkan kesedaran akan