KUCHING: Seramai 457 anggota polis terdiri daripada 41 pegawai kanan dan 416 pegawai rendah akan dikerahkan dan bersiap sedia bagi sambutan Hari Malaysia 2023 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 16 September ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pegawai dari semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan menumpukan aspek penugasan merangkumi kawalan keselamatan ke atas VVIP dan orang ramai, kawalan lalu lintas, risikan keselamatan dan pelan tindakan ke atas perkara di luar jangkaan.
“Op Hari Malaysia 2023 ini adalah bago memastikan sambutan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan ketenteraman awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata penerbangan dron adalah dilarang sama sekali di ruang udara tapak sambutan di Stadium Perpaduan pada 16 September nanti, mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah malam atas aspek keselamatan kecuali yang dibenarkan oleh pihak berkuasa sahaja.
Mohd Azman turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang, tata etika, peraturan lalu lintas dan memberi kerjasama kepada petugas di lapangan bagi memastikan program berkenaan berjalan dengan aman serta tidak ada gangguan.
Pada tahun ini, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Stadium Perpaduan, dengan majlis dijadual bermula pada jam 7 malam dan acara rasmi bermula pada 8.30 malam.
Majlis dijangka dihadiri pemangku Yang Dipertua Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Bertemakan Malaysia Madani: Segulai Sejalai, majlis bakal menyaksikan pelbagai acara menarik termasuk upacara menandatangani buku khas Hari Malaysia, perarakan masuk konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan konsert serta persembahan kebudayaan.