Hari Raya Aidiladha wadah penyatuan pelbagai kaum di Sarawak

LIMBANG: Uniknya Sarawak apabila perbezaan agama bukan menjadi penghalang untuk sama-sama menghayati erti pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha.

Hal ini di mana masyarakat Islam dan bukan Islam bersama-sama menghayati erti pengorbanan Hari Raya Aidiladha.

ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, perayaan seperti hari raya korban ini menjadi wadah penyatuan antara pelbagai agama dan kaum.

Ujarnya, sudah menjadi kebiasaan beliau akan menghadiri hari raya korban ini agar dapat menghayati serta merasai sendiri kemeriahan sambutan hari raya Aidiladha.

“Terus kekalkan kerjasama, toleransi serta silaturrahim sesama kamuniti setempat dan pemimpin.

“Semangat berkorban mempertahankan Ibu Pertiwiku harus dijunjung selaras dengan roh peristiwa korban sebenar,” ujarnya semasa menghadiri Majlis Ibadah Qurban Aidiladha di Surau Nurul Falah Kuala Awang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi JKP Surau Nurul Falah Kuala Awang Jeffery Gapar berkata, pembabitan masyarakat bukan Islam dalam program berkenaan adalah bertitik mula dengan keunikan masyarakat Kampung Kuala Awang kebanyakannya mempunyai darah keturunan campuran.

“Jika dilihat, terdapat banyak percampuran darah hasil daripada perkahwinan campur dari zaman nenek moyang kita seperti bangsa Melayu, Bisaya, Iban dan banyak lagi.

“Oleh itu, perlaksanaan program sedemikian adalah sangat bersesuaian di mana dapat merapatkan hubungan silaturahim sesama Islam dan bukan Islam.

Awang Jeffery yang juga Pengerusi Penyelaras Majlis Ibadah Qurban Aidiladha menyatakan bahawa program sedemikian dalam masa yang sama turut merapatkan hubungan kekeluargaan di mana terdapat masyarakat Islam mualaf yang mempunyai keluarga bukan Islam.

Suara Sarawak