MIRI: Hari pengundian bagi kawasan P.218 Parlimen Sibuti dan P.219 Parlimen Miri berjalan lancar meskipun hujan renyai-renyai turun seawal jam 5.30 pagi hari ini.
Walaupun pusat pengundian dijadualkan dibuka secara rasmi pada jam 7.30 pagi di seluruh negara, ramai pengundi sudah mula bergerak menuju ke pusat membuang undi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagi P.218 Parlimen Sibuti, penyandang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Lukanisman Awang Sauni tiba di Pusat Pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bekenu sekitar jam 8.30 pagi.

Kehadirannya disambut petugas SPR dan diiring ke kawasan pendaftaran pemilih SPR sebelum bergerak dan beratur menunggu giliran di bilik mengundi di saluran III, SJKC Chung Hua Bekenu.
Lukanisman seterusnya selesai membuang undi jam 8.39 pagi dan bergerak untuk melawat ke beberapa pusat pengundi di Parlimen Sibuti.
Lawannya dari Pakatan Harapan (PH) Zulhaidah Suboh membuang undi SJKC Chung Hua Bakam manakala seorang lagi calon dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Bobby William mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau Miri.
Sejumlah 41 Pusat Mengundi telah dibuka bermula jam 7.30 pagi sementara seramai 58,522 pengundi berdaftar di Parlimen Sibuti.
P.219 Parlimen Miri pula menyaksikan calonnya dari GPS-SUPP, Jeffry Phang telah membuang undi di SJK Chung San Miri sekitar jam 7.49 pagi.
Beliau yang tiba awal sebaik sahaja pusat pengundian dibuka jam 7.30 pagi turut beratur dan menunggu giliran bersama-sama pengundi lain sebelum dibenarkan masuk oleh petugas SPR.
Phang ditemani Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1, Datuk Sebastian Ting.
Lawannya daripada PH, Chiew Choong Man pula mengundi di SMK Merbau dan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada jam 7.48 pagi.
Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Lawrence Lai pula tiba di perkarangan SK Pujut Corner sekitar jam 8.45 pagi dan selesai membuang undi pada jam 9.20 pagi.
Bagi penyandang Parlimen Limbang yang juga calon GPS, Datuk Hasbi Habibollah bersama isterinya, Datin Elsi Marlisa Abdullah pula mengundi di SK Melayu Pusat, Limbang.
Parlimen Limbang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya, Datuk Hasbi Habibollah (GPS) dengan calon PH, Racha Balang yang merupakan pesara kerajaan.
Sejumlah 41,999 pemilih berdaftar di Parlimen Limbang membabitkan 53 pusat mengundi telah dibuka seawal jam 7.30 pagi.