ARTIKEL

Dr Sim Kui Hian (kanan) menyalakan lilin di tokong Persatuan Penganut Sarawak, Jalan Wan Alwi, Kuching, sempena Hari Wesak yang disambut di seluruh negara hari ini.

Hari Wesak disambut meriah seluruh negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Hari Wesak disambut meriah di seluruh negara dengan ribuan penganut Buddha memenuhi tokong di negeri masing-masing sejak awal pagi ini.

Di Kuala Lumpur, Tokong Buddha Maha Vihara di Brickfields dikunjungi kira-kira 25,000 orang seawal 5.30 pagi untuk menjalankan upacara keagamaan dan penghormatan sempena kelahiran, kesedaran dan pemergian Siddharta Gautama Buddha.

Timbalan presiden tokong itu, A. Hemadasa, berkata pelbagai acara diadakan, antaranya perarakan nyalaan lilin pada 6 petang yang dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, serta perarakan kira-kira 20 kereta berhias.

Orang ramai dilihat mengunjungi tokong Fo Guang Shan di SS3, Petaling Jaya, yang turut mengadakan acara kebajikan serta pertunjukan koleksi seni kaligrafi.

Di Pulau Pinang, ribuan penganut Buddha mengunjungi tokong sekitar negeri dan tinjauan BERNAMA di tokong Buddha terbesar di Malaysia, iaitu Kek Lok Si di Air Itam, mendapati penganut bukan sahaja terdiri daripada rakyat tempatan, tetapi juga kelihatan pengunjung dari luar negara yang turut sama merasai pengalaman menyambut Hari Wesak.

Bangunan Persatuan Buddha Malaysia (MBA) di Jalan Burma pula meriah dengan penganut yang datang bersama ahli keluarga bagi menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai selain menabur bunga serta memandikan patung Buddha sebagai upacara keagamaan.

Di Perlis, beberapa program menarik disusun sempena Hari Wesak seperti festival makanan di Perlis Buddhist Society, Kangar.

Naib pengerusi persatuan itu, Tan Chan Sin, berkata penganjuran festival makanan berkenaan bertujuan untuk menarik penglibatan orang ramai.

Di Sarawak, sambutan Hari Wesak berlangsung penuh kesyukuran yang turut dihadiri Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di tokong Persatuan Buddha Sarawak bagi upacara sembahyang.

Wat Prachumthat Chanaram di Kelantan pula menjadi pilihan setiap tahun bagi penganut agama Buddha untuk menyambut Hari Wesak di negeri itu.

Di Kedah, pengunjung turut berkongsi cerita tentang sambutan Hari Wesak masing-masing, antaranya Kong Min Ting, 35, dari Sungai Petani, yang memaklumkan dia bersama keluarga masih memakai pelitup muka apabila ke tokong sebagai langkah berjaga-jaga demi kesihatan masing-masing.

“COVID-19 masih ada, jadi kami pakai pelitup muka kerana orang sangat ramai di dalam tokong.

“Selepas memberi penghormatan nanti, kami sekeluarga bercadang untuk keluar berjalan-jalan memandangkan hari ini cuti,” katanya.

Bekas guru, Ong Ai Tong, 62, yang ditemui di Johor, berkata acara keagamaan yang dilakukan pada hari ini penting untuk memohon keampunan daripada Tuhan atas kesilapan dilakukan sebelum ini.

“Hari ini, kami akan mohon ampun dan maaf atas kesalahan yang kami lakukan sebelum ini dan kami berjanji akan melakukan tiga perkara baik, iaitu badan kami, kami buat perkara baik, mulut kami akan bercakap perkara yang baik-baik, dan hati mesti menyimpan niat baik,” katanya.

Pengerusi Wat Siribunya Maggarama di Ipoh, Perak, Iyeng Endin Niang, berkata Hari Wesak melambangkan keharmonian dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini.

Sambutan Hari Wesak merupakan cuti umum di Malaysia dan secara tradisi, ia menyaksikan penganut berkumpul di tokong Buddha bagi menyanyikan lagu keagamaan dan membawa ikon Buddha semasa acara perarakan yang melambangkan kesucian seseorang. – BERNAMA

Penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan di tokong Persatuan Penganut Buddha Sarawak di Kuching sempena sambutan Hari Wesak yang disambut hari ini.

BERITA LAIN

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU

Faisal Halim ibarat pecahan yang hilang — Nidzam

KUALA LUMPUR: Suasana emosi menyelubungi bilik persalinan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim menjejakkan kaki buat