ARTIKEL

Foto FAM

Harimau muda tewas kepada Uzbekistan, 0-2

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia gagal meraih keputusan yang diharapkan selepas tewas 0-2 kepada pasukan pilihan Uzbekistan pada perlawanan pembukaan Kumpulan D saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 di Doha, Qatar malam ini.

Pada pertembungan di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, skuad Harimau Muda bimbingan Juan Torres Garrido ketinggalan di awal permainan berpunca kesilapan pemain pertahanan Muhamad Syahir Bashah yang menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov dalam kotak penalti.

Pengadil Ahmed Faisal Al Ali dari Jordan tidak teragak-agak meniupkan wisel dan melayangkan kad kuning pada Muhamad Syahir sebelum ketua pasukan Uzbekistan Jasurbek Jaloliddinov tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-11 untuk meletakkan juara edisi 2018 itu depan.

Naib juara edisi 2022 kendalian Timur Kapadze itu nyaris menggandakan jaringan di penghujung separuh masa pertama apabila tandukan dari jarak dekat Alibek Davronov tinggi melewati palang pada masa tambahan tatkala penjaga gol negara Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin tergamam.

Malaysia dibarisi dua pemain tengah yang sering menyarung jersi skuad senior iaitu Muhammad Mukhairi Ajmal dan Nooa Laine menamatkan aksi babak pertama dengan gagal mencipta sebarang percubaan tepat ke gawang lawan, selain meraih 44 peratus penguasaan bola.

Bersambung babak kedua, sedikit pertukaran dilakukan Garrido menunjukkan perubahan positif, namun pasukan lawan lebih mendominasi permainan dengan beberapa percubaan berbahaya yang gagal disudahkan dengan baik.

Memasuki 10 minit terakhir permainan, kesilapan mudah sekali lagi menghukum Malaysia selepas hantaran pemain gantian Muhammad Abu Khalil dipintas Husain Norchaev yang melorongkan bola kepada pemain gantian Ulug’bek Khoshimov untuk meledak gol kedua Uzbekistan pada minit ke-83.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia perlu bangkit mengutip mata ketika membuat perhitungan dengan Vietnam di venue sama pada Sabtu ini sebelum bertemu Kuwait pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Janoub di Al Wakrah pada Selasa depan.

Malaysia yang pernah mara sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2018, menyasarkan untuk menyamai pencapaian itu pada kempen kali ini.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris, Mei ini.– BERNAMA

BERITA LAIN

PMNS komited perkasa pembangunan sukan Muaythai

BINTULU: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) komited memperkasa pembangunan sukan Muaythai di negeri ini. Usaha ke arah itu tampak jelas apabila badan induk berkenaan menganjurkan

Misi Kuching City FC cari kemenangan pertama

KUCHING: Pengurus Kuching City FC, Irwanshah Mohamad menegaskan, tiga mata tetap menjadi buruan pasukannya pada perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam

BERITA TERBARU