Hartanah terbanyak di Sarawak

PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mempunyai hartanah terbanyak berbanding kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang berkata, sehingga 1 Oktober lalu, terdapat 73,100 hartanah di kawasan pentadbiran MPP dan 91 peratus daripada jumlah tersebut adalah perumahan.

Menurutnya, dari 2017 hingga tahun ini, kadar pertumbuhan pembangunan hartanah di MPP adalah 3.5 peratus setahun atau sekitar 2,300 hartanah baharu setiap tahun.

“Unjuran MPP menjangkakan terdapat sekurang-kurangnya 73,500 hartanah pada penghujung 2020.

“Kebanyakan bandar dan bazar mengalami pembangunan pesat sejak 20 tahun lalu.

“Kita dapat lihat kawasan seperti Bandar Baharu Batu Kawah, Kota Sentosa, Jalan Matang, Jalan Batu Kawa, pusat komersial EMart Batu Kawa, P’ Residence, Dataran Moyan, Prima Matang, RPR Landeh, Skim Penempatan Bengoh dan Pusat Pentadbiran MPP.

“Jumlah bangunan meningkat mendadak daripada 21,000 pada 1996 kepada 73,100 pada 1 Oktober tahun ini,” katanya pada Majlis Ulang Tahun Ke-24 MPP dan Pelancaran Mural Wanita Gelang Bidayuh Terakhir di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Katanya, untuk mencapai pembandaran mampan,
MPP mempercepatkan penyediaan dan penyelenggaraan infrastruktur seiring dengan harapan rakyat.

Beliau berkata, dari 2016 hingga tahun ini, MPP melaksanakan 375 projek berjumlah RM82.8 juta dan pecahan kategori projek melibatkan RM15.2 juta untuk projek pembangunan asas, RM 35.8 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar dan RM31.8 juta Projek Rakyat.

“Kita dapat lihat dari tahun ke tahun, MPP sentiasa sibuk menyelenggara jalan raya dan parit. Jalan raya ke perumahan telah di naik taraf dan kebanyakan jalan di kampung telah ditar,” tambahnya.

Selain itu katanya, naik taraf jalan raya terutamanya longkang tetap menjadi keutamaan MPP yang melibatkan kawasan seperti Puncak Borneo dan Matang dengan anggaran kos RM800 juta.

Khere Chiang memberitahu, MPP turut membantu golongan miskin dan memperoleh geran untuk membaik pulih 31 rumah tahun ini.

Katanya, dari 2016 hingga tahun ini, MPP membaik pulih 114 rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar.