
BETONG: Pengalaman lebih sepuluh tahun berkhidmat sebagai pegawai kanan di tiga jabatan bekas Perdana Menteri menjadi penanda aras buat calon bebas, Hasbie Satar untuk memberi khidmat terbaik.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Tun Mahathir Mohamad.
“Semua pengalaman ini akan dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada masyarakat seandainya berjaya memenangi kerusi bagi kawasan P.204 Betong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di bilik gerakannya.
Sekali gus, dapat mewakili suara rakyat Sarawak ke medan perdebatan di Dewan Rakyat kelak serta mengetengahkan isu berkaitan seperti yang diinginkan rakyat khususnya kawasan berkenaan.
“Bagi saya, masyarakat atau pengundi di kawasan P.204 Betong sudah tahu apa yang mereka inginkan.
“Tidak perlu dijelaskan dengan terperinci maksud yang tersirat mahupun tersurat,” ujarnya.
Anak jati kelahiran Kampung Spaoh, Betong itu mengakui betapa personaliti diri begitu dikenali masyarakat kawasan berkenaan.
Justeru, beliau percaya kelebihan yang ada dapat memperlihatkan kredibiliti dirinya yang harus dimiliki setiap wakil rakyat.



