ARTIKEL

Hasilkan 80 produk tanah liat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KETIKA kebanyakan gadis seusianya memilih pekerjaan bergaji tetap, Nur Syazwani Izyan Jefridin pula lebih senang menceburkan diri dalam kerjaya yang memerlukan dirinya ‘bermain’ dengan tanah liat.

Tidak kisah setiap hari comot kerana kesan tanah liat dan terpaksa menahan bahang panas dapur seramik, pemilik Belipot Craft Ceramic Nur Syazwani Izyan kini berbangga dengan 80 jenis produk seramik dan tembikar hasil tangan beliau yang semakin mendapat permintaan tinggi pelanggan.

Gadis berusia 31 itu berkata minat terhadap bidang tersebut bermula sejak kecil kerana sering melihat bapanya Jefridin Mat, 59, menghasilkan produk daripada tanah liat di bawah rumah mereka sekitar 2010.

“Selepas menamatkan pengajian peringkat diploma pada 2013, atas rasa ingin membantu ayah dan minat, saya ambil keputusan untuk fokus sepenuh masa dalam bidang ini.

“Ketika ini Belipot Craft Ceramic menghasilkan sekitar 80 produk antaranya cenderahati perkahwinan seperti bekas telur, tabung serta barangan hiasan seperti pasu dan lampu.

Barangan yang paling mendapat sambutan ialah pemanas tungku,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Bunut Payong, di Kota Baharu baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Nur Syazwani yang mesra disapa Onie berkata bahan mentah utama iaitu tanah liat jenis terracotta diperoleh dari sekitar Kota Bharu dan produk dihasilkan di sebuah bengkel berhampiran kediaman keluarganya.

Menurut bekas pelajar Diploma Pengurusan di Management, Science University (MSU) Kota Bharu itu proses menghasilkan produk berasaskan tanah liat memerlukan beberapa peringkat, bermula dengan tanah liat cair dimasukkan ke dalam acuan mengikut jenis produk.

Katanya proses itu diulang beberapa kali mengikut ketebalan yang dikehendaki sehingga produk dihasilkan.

“Selepas beberapa jam, produk dikeluarkan dari acuan dan proses mencantum dan kemasan akan dibuat.

Produk ini kering selepas dua atau tiga hari.

“Selepas produk kering, ia disusun dan seterusnya dibakar di dalam dapur seramik selama tujuh jam pada suhu 950 darjah Celsius.

Secara purata setiap satu produk perlu mengambil masa empat hari untuk disiapkan,” katanya yang dibantu seorang pekerja.

Menurut Nur Syazwani, syarikatnya menghasilkan lebih 2,000 pelbagai produk menggunakan sekitar 500 kilogram tanah liat. Harga jualan bermula RM1.50 hingga RM85 bergantung kepada saiz dan jenis produk setiap bulan.

“Kira-kira 90 peratus produk dijual secara dalam talian manakala baki menerusi penyertaan pada program kraf tangan atau pelanggan datang membeli terus di bengkel tersebut,” katanya.

Lebih 10 tahun dalam industri, Nur Syazwani mengakui masih ramai tidak mengetahui produk seramik turut dihasilkan secara aktif di Kelantan.

“Kami pernah diminta untuk hasilkan produk tembikar seperti labu sayong di Perak tetapi kami tidak buat kerana mahu produk Belipot Craft Ceramic ada identiti sendiri.

“Setiap produk yang dihasilkan di sini dibuat berdasarkan idea saya dan juga permintaan pelanggan, setakat ini alhamdulillah rata-rata mereka berpuas hati dengan kualiti barangan yang dihasilkan di sini,” katanya.

Bagi Mahfuzah Nazirah Zaidee, 25, yang merupakan pekerja di syarikat seramik itu, beliau banyak belajar dengan Nur Syazwani berkenaan teknik penghasilan produk berasaskan tanah liat.

“Saya menjalani latihan industri di Belipot Craft Ceramic kira-kira tiga tahun lepas, banyak ilmu yang saya dapat di sini seperti diajar akan teknik tuangan dan cara bakar,” kata lepasan Sarjana Muda Seramik Perindustrian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu

LAIN-LAIN BERITA

Eksport orkid sumbang RM4 bilion setahun

HASIL eksport orkid Malaysia mampu menyumbang RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan tinggi dari negara luar. Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian

BERITA TERBARU

Wawasan Tun Taib menjurus kepada pemodenan Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai karakter sebagai pemimpin berwawasan dan seorang yang berfikiran strategik berjaya membawa perubahan, sekali gus

Tun Taib bawa pembangunan berterusan

KUCHING: Hubungan rapat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang terjalin rapat sejak pentadbiran bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membawa

Legasi ditinggalkan Tun Taib tidak ternilai 

KUALA LUMPUR: Legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Bapa Pemodenan Sarawak tidak ternilai dan akan sentiasa hidup di dalam hati semua.