Trending

Hasilkan pakaian inspirasi Jalur Gemilang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MELIHAT kanak-kanak memakai pakaian berinspirasikan Jalur Gemilang yang dihasilkannya sudah cukup membanggakan Helmaliza Md Isa, 41.

Bergelar tukang jahit sejak 10 tahun lepas dan mula menghasilkan pakaian berkenaan sejak tahun lepas, Helmaliza berkata itu cara dirinya menzahirkan rasa cinta kepada negara sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dalam jiwa kanak-kanak melalui pakaian dijahitnya.

“Setiap kali pelanggan memberikan testimoni berbentuk gambar atau video, melihat kanak-kanak memakai pakaian hasil jahitan saya lengkap dengan aksesori penuh kemelayuan dan patriotik, perasaan saya sungguh gembira dan bangga.

“Melalui cara ini sumbangan saya kepada negara bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya yang ditemui di kedai jahitnya yang dikenali ‘Kedai Jahit 2 Beradik’ di Klebang Restu, di sini barubaru ini.

Menurut Helmaliza, penglibatannya menjahit pakaian berinspirasikan Jalur Gemilang bermula apabila ramai pelanggan yang datang mahu menempah pakaian tersebut untuk anak-anak mereka sempena aktiviti Bulan Kebangsaan di sekolah.

Katanya, biarpun kebanyakan pelanggan pada ketika itu mahu menempah pada saat akhir, beliau tidak sampai hati untuk menolak permintaan.

“Saya terima tempahan kira-kira 200 pasang baju pada tahun lepas. Tahun ini saya menyiapkan 300 pasang lebih awal bagi memudahkan pelanggan dan saya kemudian hanya perlu ubah suai mengikut kehendak mereka,” katanya yang sudah lima tahun mengusahakan ‘Kedai Jahit 2 Beradik’ dengan adiknya.

Helmaliza berkata, beliau turut dibantu tiga pekerja bagi menyiapkan pakaian bermotif tradisional dan moden untuk kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia lima hingga 12 tahun dengan kesemua pakaian itu menggunakan kain kapas bagi keselesaan kanak-kanak.

“Saya menjahit baju kebaya labuh atau gaun dan turut menyediakan aksesori seperti sanggul lintang dan gandik untuk kanak-kanak perempuan manakala baju pahlawan berserta tanjak untuk kanak-kanak lelaki.

“Rekaan koleksi ini menggunakan warna biru, kuning dan putih serta terdapat corak bulan, bintang dan Jalur Gemilang.

Saya turut menyelitkan sedikit elemen tradisional untuk membangkitkan nostalgia bagi setiap baju yang dipakai kanak-kanak,” katanya yang mempelajari cara menjahit pakaian itu melalui YouTube.

Berasal dari Malim Nawar, Helmaliza berkata beliau tidak menang tangan menerima tempahan pakaian itu sejak Mei lepas dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar pakaian pelanggan yang berada jauh dari Ipoh termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Helmaliza, pakaian kanak-kanak perempuan dijual pada harga RM69 sepasang, aksesori seperti sanggul lintang dan gandik sekitar RM15 hingga RM35 manakala baju pahlawan berharga RM79 dan RM25 bagi tanjak.

Menggunakan platform media sosial seperti Facebook ‘Helma Zara’ dan TikTok ‘Helmazaraalia’ bagi mempromosikan hasil jahitannya, Helmaliza berkata tahun ini beliau mengeluarkan modal hampir RM12,000 bagi menyediakan pakaian tersebut. – Bernama

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru