Hasilkan PPE guna  pencetak 3D

KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) berperanan sebagai penggerak digital ekonomi sentiasa menyokong inisiatif digital daripada rakyat Sarawak. Menurut kenyataannya semalam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SMA melalui Unit Digital Village menyatukan komuniti pencipta di Sarawak untuk memperluaskan niat membantu petugas kesihatan dalam menangani wabak Covid-19.

Komuniti pencipta ini sedang bekerjasama membuat pelindung muka menggunakan pencetak 3D dan pemotong laser. Alat pelindung diri (PPE) seperti pelindung muka penting melindungi petugas barisan hadapan daripada sebarang jangkitan.

Kumpulan itu terdiri daripada pelbagai organisasi seperti Startups, perusahaan kecil dan sederhana (SME), enterprise sosial (SE), pendidikan sains teknologi kejuruteraan matematik (Stem), NGO dan individu dari seluruh Sarawak.

Dengan kekuatan lebih daripada 100 sukarelawan membuat PPE di rumah masing-masing, mereka menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 10,000 unit PPE. Pasukan ini juga dalam usaha untuk menghasilkan alat bantuan pengaliran udara dan kotak perlindungan intubasi untuk anestetik.

Mereka turut mengumpul sumbangan membekalkan petugas barisan hadapan dengan sarung tangan, topeng N95 dan termos. Justeru, Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata, sebagai pemain utama dalam ekosistem ekonomi digital SMA bangga melihat semangat sukarelawan yang turut bersama-sama membantu menangani krisis ini.

“Mereka berupaya melaksanakan inisiatif ini dengan menggunakan teknologi bagi membantu petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19. “Usaha-usaha ini membuktikan betapa pentingnya akses kepada teknologi digital dan pendidikan seterusnya dapat membantu masyarakat dan negara secara keseluruhan,” katanya.

Suara Sarawak