Hasilkan PPE untuk HUS

KUCHING: Sukarelawan Tanoti House di sini, membuat pelbagai jenis peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk barisan hadapan perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam menghadapi krisis Covid-19. Pengarah Tanoti House, Jacqueline Fong berkata, projek itu dibuat sebaik menyedari tentang kekurangan PPE di HUS, menyebabkan kakitangan perubatan tidak dilengkapi dengan alat perlindungan yang cukup untuk melindungi diri mereka semasa menjalankan tugas.

“HUS menggunakan purata 500 helai PPE setiap hari, jadi kami memutuskan untuk mencuba dan melihat sama ada kami boleh menjana barangan yang mencukupi untuk hospital bagi memastikan stok PPE sentiasa ada,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jacqueline berharap projek itu akan membantu menangani masalah kekurangan bekalan PPE yang teruk ketika ini.

“Objektif kami adalah untuk memastikan kakitangan perubatan kita dilindungi.

“Saya yakin sumbangan ini cukup membantu mereka menangani krisis Covid-19,” katanya.

Menurutnya, sejak projek itu bermula Sabtu lalu, sukarelawannya telah berjaya menghasilkan hampir 900 pasang penutup kaki dan lebih 300 keping penutup kepala.

“Kami mendapatkan bahan daripada pembekal di Kuching kerana itu adalah yang paling mudah.

“Kain ini adalah bahan gred klinikal dan ia kalis air, tahan haba dan untuk satu penggunaan sahaja,” katanya.

Jacqueline berkata inisiatif mereka itu juga mendapat sambutan dan sokongan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat.

“Kami sangat teruja dengan semangat masyarakat di Kuching yang tampil dan menyatakan minat mereka untuk membantu kami menjahit PPE,” katanya.

Suara Sarawak