KUCHING: Menteri dan timbalan menteri kesihatan yang baharu mesti menghasilkan rangka kerja antara kementerian dan antara agensi Persekutuan-Negeri yang komprehensif untuk menangani pelbagai penentu sosial kesihatan dengan berkesan.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung dua kes kematian membabitkan bayi yang maut dalam pangkuan ibunya di Sri Aman pada 4 Disember dan seorang wanita warga emas yang meninggal dunia sebelum ambulans yang sepatutnya menghantarnya ke hospital, tidak dapat melalui ICQS Sungai Tujoh pada 6 Disember lalu.
Beliau menegaskan bahawa perlu ada siasatan yang telus dan komprehensif terhadap kes kematian baru-baru ini di Sarawak yang didakwa berpunca daripada kekurangan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan di kawasan masing-masing.
“Amat menyedihkan pada zaman ini, kita masih mendengar kes sebegini di mana terdapat penduduk terutamanya di kawasan luar bandar dirampas hak mereka untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
“Ini jelas menunjukkan gejala kurang pelaburan jangka panjang dan pengabaian dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan kita terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Katanya lagi, untuk menangani isu tersebut dengan betul, kerajaan perlu menangani Penentu Sosial Kesihatan (SDoH) yang berbeza termasuk menangani kemiskinan, menyediakan kemudahan asas, pembangunan saksama dan banyak lagi, yang mungkin bukan sahaja berada di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Oleh itu, untuk menyelesaikan ketidaksamaan kesihatan, perlu ada rangka kerja antara kementerian dan agensi Persekutuan-Negeri Persekutuan yang komprehensif untuk menghasilkan rangka tindakan holistik untuk menangani semua SDoH yang berbeza dengan betul bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.
“Saya berharap Menteri Kesihatan dan timbalan menteri baharu akan menerajui agensi antara kerajaan ini untuk mengenal pasti isu-isu terlebih dahulu.
“Kemudian, sediakan peruntukan sumber yang diperlukan untuk melengkapkan kemudahan penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar dengan lebih baik dan juga memastikan pembangunan dalam ekosistem sekitar,” katanya.