Hati-hati ketika lalui Jalan Nanga Merit-Sangan

TATAU: Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati susulan kejadian mendapan serta pergerakan tanah di Kilometer 9, Jalan Nanga Merit- Sangan sejak tengah hari Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tatau DSP Dennis Bunyam berkata, setakat petang ini, mendapan serta rekahan yang berlaku pada struktur jalan seluas 50 meter itu masih sama seperti semalam(Selasa), yang mana turut berlakunya penurunan sekitar 0.3 meter.

Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) segera mengarahkan kontraktor terlibat memasang penanda amaran awas, lampu sinar waktu malam dan tali amaran keselamatan di sepanjang laluan yang berisiko mengalami runtuhan pada bila-bila masa sahaja.

“Ini sangat penting supaya pengguna berwaspada dan berhati-hati selain memperlahankan kenderaan masing- masing apabila melalui kawasan terbabit demi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan di laman Facebook, jalan sebelah kanan menghala ke Bintulu runtuh teruk dipercayai akibat hakisan berikutan hujan lebat.

Bagaimanapun, laluan terbabit masih selamat untuk dilalui berikutan terdapat lencongan jalan sedia ada dibuka semula sementara menunggu terjejas diperbaiki, katanya sambil memberitahu hasil siasatan awal mendapati mendapan serta rekahan tanah itu terjadi ekoran hujan lebat menyebabkan struktur tanah menjadi lembut.

Secara puratanya, kira- kira 300 buah kenderaan melalui jalan tersebut setiap hari dan memanfaatkan 10, 000 penduduk di kawasan Ulu Anap dan Nanga Merit termasuk Pasar Sangan Tatau.