Hati-hati memandu elak kemalangan

SERIAN: Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhemah. Beliau berkata, pemandu kurang berhemah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya merupakan punca utama berlaku kemalangan.

Oleh itu katanya, pengguna harus mematuhi peraturan jalan raya dan memberi perhatian akan kempen keselamatan jalan raya yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. “Selain itu, seperti yang disarankan oleh JPJ, pengguna jalan raya harus memeriksa kenderaan mereka sebelum memulakan perjalanan.

“Jika kita memandu secara berhemah dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPJ dan polis, kadar kemalangan pasti akan menurun. “Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab diri sendiri dan tanggungjawab bersama,” katanya pada perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri 2020, di sini pada Isnin.

Adun Bukit Semuja, John Ilus, Residen Serian, Tuah Suni, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Simon Sinang Bada turut hadir. Manyin yang juga Adun Tebedu mengingatkan pengguna jalan raya mengambil perhatian akan kempen keselamatan jalan raya tersebut.

Katanya, kempen tersebut tidak seharusnya dijadikan rutin setiap kali musim perayaan namun menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya. Sementara itu, menurut statistik kemalangan yang dikeluarkan oleh IPD Serian menunjukkan penurunan pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Bagi kemalangan rosak, sebanyak 340 kes dilaporkan pada Januari hingga November tahun 2019 manakala sebanyak 255 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama bagi tahun ini.

Kemalangan ringan merekodkan kenaikan kes pada tahun ini iaitu sebanyak 17 kes berbanding 13 kes pada tahun lalu. Sementara untuk kes kemalangan parah, sebanyak empat kes direkodkan tahun ini berbanding tujuh kes tahun lalu manakala kemalangan maut merekodkan 18 kes tahun ini berbanding 32 kes pada tahun sebelumnya.