Hati-hati turun ke laut

KUCHING: Nelayan dinasihati untuk berjaga-jaga apabila setiap kali turun ke laut berikutan angin kencang dan ombak bergelora semasa musim monsun Timur Laut.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sarawak Ambun Dindang berkata, angin monsun Timur Laut bermula 11 November lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac tahun hadapan.

“Justeru, semasa musim ini bahaya bagi bot-bot kecil,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Katanya, ribut petir dan hujan di sebahagian besar kawasan di Sarawak pada waktu petang dan akan berlarutan hingga malam di kawasan pedalaman dijangka sehingga hujung minggu.

“Pada sebelah pagi, hujan dijangka di kawasan pesisir Sarawak disebabkan perubahan corak angin,” kata Ambun.

Berdasarkan analisis data terkini dan gambar satelit terkini, Ambun berkata, jabatannya tidak menjangkakan hujan berterusan di Sarawak dalam beberapa hari yang akan datang walaupun musim monsun Timur Laut telah bermula.

“Bagaimanapun, hujan terpencil mungkin boleh berlaku di seluruh negeri,” jelasnya. Ambun turut memberitahu, sekiranya ada amaran mengenai hujan berterusan atau mengenai cuaca, ia akan dikemas kini dan diterbitkan melalui Jabatan Meteorologi Malaysia di www.met.gov.my atau melalui aplikasi mudah alihnya di myCuaca 2.0.

Berdasarkan definisi jabatan mengenai hujan lebat berterusan, ini bermaksud bahawa hujan berlaku atau dijangka berlaku melebihi enam jam dengan jumlah hujan sekurang-kurangnya 60 mm.

Pada musim hujan ini katanya, penduduk yang tinggal di kawasan mudah banjir terutama di sepanjang tebing sungai, berhampiran pantai dan kawasan rendah dinasihatkan untuk selalu berwaspada terhadap keadaan cuaca semasa.

“Kejadian air pasang jika bertepatan dengan hujan lebat yang berterusan dapat memburukkan keadaan banjir,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga harus mengutamakan keselamatan diri dan mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan sekiranya mereka diminta untuk berpindah.

“Ibu bapa juga disarankan untuk memantau pergerakan anak-anak mereka dan memastikan membawa dokumen penting,” kata Ambun.

Suara Sarawak